13 Tempat Menarik Untuk Percutian Di Cameron Highlands Pahang | Cameron Highlands destinasi impian bagi mereka yang mengejar percutian dingin yang santai berlatar belakangkan alam semula jadi. Semasa anda menjelajah syurga tanah tinggi ini, anda akan menemui bandar – bandar kecil yang menawan, setiap satu dengan suasana tersendiri.

Dengan udara segar, pemandangan yang indah dan cuaca sejuk sepanjang tahun, adalah salah satu dari lokasi paling popular dan digemari di Malaysia. Anda nak lari dari cuaca hangat dan bercuti di tempat sejuk bersama orang tersayang, boleh lah datang ke Cameron Highlands

Nak tahu dimana lokasi – lokasi menarik di bandar ini? Teruskan membaca senarai 13 tempat menarik di kawasan ini.

1. Taman Teh BOH

Taman Teh Boh semestinya salah satu pemandangan paling ikonik di Cameron Highlands, miliki ladang teh yang terbentang luas. Tempat ini penuh dengan sejarah dari sejak hampir seabad lalu dan menempatkan kilang teh BOH yang pertama yang mana dibina pada tahun 1930-an.

2. Mossy Forest

Anda pernah dengar tentang Mossy Forest yang bermisteri di Gunung Brinchang? Dengan suasana seperti kisah dongeng, anda boleh terokai Mossy Forest Cameron Highlands. Terletak di ketinggian 2,032 meter, hutan yang penuh dengan lumut ini kelihatan seperti dari filem Lord Of The Rings atau Avatar.

3. Jim Thompson Tea Room

Anda mencari tempat untuk minum petang? Anda boleh melawat Jim Thompson Tea Room yang berada di Resort Cameron Highlands yang ikonik ini. Ruang elegan bersama tingkap besar, perabot vintaj dan hiasan klasik – kebanyakan orang datang ke sini sama ada untuk set minum petang (bersama pemanis mulut atau hidangan savuri tiga tingkat) atau makan tengah hari.

4. Glamping di Stellar GoldenHill Cameron Highlands

Manjakan diri anda dengan pemandangan bukit yang menakjubkan dan penginapan yang tak terlupa dalam caravan yang selesa! Stellar GoldenHill Cameron adalah tapak glamping caravan di bukit untuk pelarian alam yang tidak konvensional, sesuai untuk pasangan, keluarga dan kawan – kawan.

5. Taman Rama-Rama

Juga berada di Ladang Kea di Brinchang, Taman Rama-Rama adalah satu lagi tarikan mesra keluarga di Cameron Highlands. Malah, ianya adalah salah satu tarikan yang paling lama di sini dan bermula sebagai hobi salah seorang pengasasnya yang mahu mencipta ruang indah untuk membiak rama – rama yang cantik.

6. O&R Garden

Terletak di Brinchang, O&R Garden adalah sebuah ladang dan taman yang luas. Permata terpendam ini menjadi rumah kepada lebih dari 100 spesies orkid dan 30 spesies mawar, syurga bagi mereka yang suka melihat bunga-bunga yang berwarna-warni ini. Kanak-kanak juga pasti akan menikmati zoo mini di sini

7. The Time Tunnel Museum

Time Tunnel adalah sebuah muzium comel yang berada di Brinchang, yang menempatkan banyak koleksi memorabilia, artifak dan barang koleksi dari zaman dahulu! Jika anda merancang untuk bercuti di Cameron Highlands bersama anak – anak, pastikan anda bawa mereka untuk terokai zaman sebelum mereka dilahirkan.

8. Ladang Strawberi

Selain daripada teh dan sayur yang segar, strawberi juga salah satu ikon Cameron Highlands. Cuaca sejuk di tanah tinggi ini menjadikannya tempat yang sesuai untuk menanam strawberi sepanjang tahun, jadi sebab itulah Cameron Highlands penuh dengan ladang strawberi yang luas sama ada di Tanah Rata, Brinchang, mahupun Ladang Kea.

9. Gunung Jasar

Anda nak mulakan hari anda dengan senaman? Anda boleh mendaki Gunung Jasar, sebuah gunung yang popular bagi pencinta alam semula jadi dan pendaki gunung! Laluannya taklah terlalu sukar dan anda boleh menghirup udara segar sambil nikmati pemandangan indah Tanah Rata dan Cameron Highlands dari atas, menjadikannya sangat berbaloi.

10. Taman Flora Cameron

Taman Flora Cameron adalah sebuah taman bunga yang berada di Ladang Kea, sebuah kawasan pertanian di Cameron Highlands. Jika anda sukakan bunga, anda pasti akan gembira melihat semua jenis bunga yang mekar di sini. Selain dari dapat berjalan-jalan, pelawat juga boleh berkelah sambil dikelilingi bunga merah jambu yang terbentang luas.

11. Taman Lavender Cameron

Ada satu lagi tempat untuk pencinta bunga! Taman Lavender (juga dikenali sebagai Cameron Lavender) adalah sebuah tarikan popular di sini. Terletak cuma 10km daripada pekan Brinchang, Taman Lavender ini bukan saja dipenuhi dengan banyak jenis lavender, tapi juga ros Jepun, bunga seri pagi, bunga tiga bulan dan bunga daisy!

12. Kea Farm Market

Anda boleh melihat kehidupan warga tempatan di Pasar Ladang Kea (Kea Farm Market), salah satu pasar terbesar di Cameron Highlands. Pasar yang popular ini buka kebanyakannya pada waktu siang dan dikenali sebagai tempat terbaik untuk membeli sayur-sayuran segar, buah-buahan, bunga, snek dan banyak lagi.

13. The Sheep Sanctuary

Sambil anda berjalan-jalan di Pasar Ladang Kea, perhatikan papan tanda besar dengan kartun kambing biri-biri dan singgahlah di The Sheep Sanctuary. Tempat ini menempatkan kambing biri-biri yang gebu dan comel. Pelawat boleh membelai, memberi makan dan bermain dengan kambing biri-biri yang sama ada berada dalam kurungan atau yang bebas berjalan.

 

Sampai sini sahaja senarai tempat menarik di Cameron Highlands ini. Apa pun pilihan anda, semoga anda bercuti dengan selamat dan kembali dengan kenangan indah bersama orang tersayang. Banyak lagi tempat menarik yang ada di sini. Rugi jika anda tidak datang ke Cameron ini. Jangan lupa untuk tempah penginapan sebelum sampai ke sini. Selamat Bercuti!

Share.

Leave A Reply