13 Tempat Menarik Untuk Percutian Di Mersing Johor | Mersing adalah tempat yang dikenali sebagai tempat pelancongan tempatan yang menarik di Johor. Pelancong dari dalam dan luar negara banyak menggunakan laluan jeti Mersing untuk menuju ke tempat pelancongan mereka iaitu pulau – pulau yang berada di sekitar daerah ini.

Ingin kan percutian persis di Thailand yang kaya dengan pulau – pulau yang indah namun dalam masa yang sama ingin lebih privasi? Tak perlu keluarkan bajet yang banyak, kerana pulau – pulau indah yang damai tanpa gangguan pelancong yang datang beramai – ramai ini dapat anda nikmati di sekitar Mersing ini.

Nak tahu dimana lokasi – lokasi menarik di kawasan ini? Teruskan membaca senarai 13 tempat menarik di kawasan ini.

1. Dataran Kembara

Dataran Kembara adalah sebuah taman rekreasi yang boleh anda lawati bersama keluarga. Terletak bersebelahan dengan tepi pantai, Dataran Kembara ini menyediakan kawasan luas untuk si kecil bermain, anda jalan – jalan dan sama – sama nikmati angin laut yang nyaman.

2. Hutan Lipur Gunung Arong

Bagi anda yang sudah berkeluarga dengan anak – anak yang kecil namun dalam masa yang sama tidak mahu meninggalkan aktiviti lasak mendaki gunung, bawalah keluarga anda bercuti ke Hutan Lipur Gunung Arong. Trek pendakiannya agak mudah, sudah lah mudah didaki, pemandangan yang menanti di puncak juga sungguh mengasyikkan.

3. Taman Negara Endau-Rompin

Taman Negara Endau-Rompin yang berada bersempadan dengan negeri Pahang adalah taman negara yang sungguh luas dengan keluasan sekitar 80,000 hektar. Di tahap keluasan yang sebegini, sudah pasti, begitu banyak sekali flora dan fauna yang eksotik boleh anda temui.

4. Pulau Tinggi

Beratus tahun dahulu Pulau Tinggi pernah digelar oleh pelayar – pelayar dari China sebagai Pulau Topi Jeneral disebabkan oleh bentuk sebuah gunung di pulau ini. Gunung Semudu ini kelihatan seperti topi. Gunung ini adalah yang tertinggi jika dibezakan dengan gunung – gunung di pulau yang lain di sekitar dengan ketinggian sekitar 2000 kaki dari aras laut.

5. Pulau Pemanggil

Cukup indah sekali panorama di sekitar pulau ini, hidupan laut di sini juga teramat lah banyak buatkan ia terkenal dalam kalangan kaki pancing. Antara ikan yang mudah anda dapati di sini adalah ikan marlin, ikan pari dan ikan tuna. Bagi anda yang suka makan sotong goreng, mai lah bercuti di sini dan dapat makan sotong hasil tangkapan sendiri pekena pula dengan air kelapa.

6. Pulau Dayang

Terletak dekat dengan Pulau Aur, Pulau Dayang adalah sebuah lokasi yang perlu anda lawati jika ingin berjinak – jinak ataupun belajar tentang teknik menyelam skuba. Sambil menyelam di sekitar pulau itu, anda dapat nikmati panorama yang sungguh menakjubkan dari air laut yang jernih.

7. Pulau Aur

Terletak hanya sekitar 400 meter dari Pulau Dayang, untuk sampai ke Pulau Aur yang berada di bahagian timur Mersing ini dari jeti adalah dalam sekitar empat setengah jam. Walaupun memakan masa yang lama untuk sampai, perjalanan terasa sangat berbaloi apabila anda jejakkan kaki ke tanah syurga tropika ini. Air di sekitar nya jernih bak kristal yang menampakkan hidupan laut yang cukup indah.

8. Pulau Rawa

Terletak 16 km dari Mersing, pulau ini miliki kawasan pantai dengan pasir yang putih bersih. Dengan dasar laut yang indah, Pulau Rawa adalah lokasi yang sering dilawati untuk snorkeling. Namun begitu, pulau ini punyai hutan yang agak tebal. Namun bagi anda yang sukakan aktiviti trekking, di sini disediakan laluan dengan 270 anak tangga untuk ke puncak di timur pulau.

9. Pulau Tengah

Mempunyai bentuk geografi yang agak unik, Pulau Tengah mesti anda singgah jika anda ingin dapatkan foto – foto travel yang gempak. Pembentukan batu tajam dan halus yang ada di sekitar ini jadikan pemandangan di sekitar pulau tampak begitu unik.

10. Pulau Sibu

Adakah anda tahu, Pulau Sibu ini terdiri dari 4 buah pulau iaitu Pulau Sibu Hujung, Pulau Sibu Tengah, Pulau Sibu Besar dan Pulau Sibu Kukus. Daripada kesemua pulau ini, Pulau Sibu Tengah adalah yang paling terkenal dalam kalangan para pelancong kerana fasilitinya yang cukup lengkap dan kewujudan banyak jenis penginapan yang menarik.

11. Pantai Penyabong

Terletak hanya dalam 36 km dari Bandar Mersing, nama lain bagi Pantai Penyabong adalah Pantai Pasir Lanun. Berdasarkan kisah yang disampaikan sejak turun – temurun, Penyabong dahulunya adalah tempat persinggahan lanun yang melalui Laut China Selatan. Mereka selalu mengadakan pertandingan sabung ayam, begitu lah alkisahnya bagaimana Pantai ‘Penyabong’ dapat namanya sekarang.

12. Pantai Tanjung Resang

Masa yang diambil untuk sampai ke tarikan alam semula jadi ini dari Mersing adalah dalam sekitar 15 minit pemanduan. Pantai di sini sungguh mendamaikan. Sama ada anda hanya sekadar ingin nikmati pemandangan ataupun ingin beraktiviti lasak seperti menyelam skuba, berkayak dan macam – macam lagi. Semuanya boleh dibuat di sini.

13. Pulau Besar

Terletak hanya 30 minit perjalanan menaiki bot dari Jeti Mersing, walaupun pulau ini bernama Pulau ‘Besar’, ironinya, ianya hanya sebuah pulau yang kecil dengan kepanjangan yang hanya 4 km dan lebar 1 km. Walaupun kecil, pulau ini cukup lengkap dengan banyak fasiliti yang cukup menarik.

 

Agak mengejutkan bukan betapa banyaknya pulau indah yang ada di kawasan perairan Mersing. Tidak cukup dengan keindahannya, pulau – pulau dan tarikan alam semula jadi lain di Mersing ini juga tidak terlalu padat dengan pelancong buatkan percutian anda terasa lebih aman dan damai.

Share.

Leave A Reply