3 Beradik Dan Seorang Sepupu Kena Renjatan Elektrik Ketika PdPR.

| June 29, 2021 | 0 Comments

3 Beradik Dan Seorang Sepupu Kena Renjatan Elektrik Ketika PdPR. | HULU TERENGGANU: Tiga beradik bersama seorang sepupu yang tekun mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) terpaksa dikejarkan ke hospital selepas terkena renjatan kilat di Kampung Kuala Por di sini petang semalam.

Mangsa ialah Nur Anis Nabihah Mohd. Zammil, 17; Adam Rifqi, 10; dan Muhammad Zafran Rayqal, 7, di samping Nur Salwana Najihah Abdullah, 16.

Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu turut membabitkan ibu kepada tiga beradik berkenaan, Suhasniza Sahaimi, 39.

Suhasniza berkata, dia yang ketika itu memasak di dapur di bahagian luar rumah tiba-tiba mengalami kekejangan hingga terjatuh dengan sudip besi yang dipegangnya tercampak.

“Semasa kejadian tiada bunyi guruh dan cuaca di luar cuma hujan gerimis tetapi jiran memberitahu mereka ternampak cahaya kilat melintasi kawasan rumah kami.

“Anak-anak bersama sepupu mereka pula tekun membuat kerja sekolah dengan beberapa telefon pintar berada di atas meja dan walaupun kekejangan, saya tetap menguatkan diri bergerak dan nampak mereka juga kekejangan sambil menangis kesakitan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Suhasniza berkata, anak bongsunya turut mengalami muntah akibat renjatan kilat itu dan kesemua mereka dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu oleh keluarga yang tinggal bersebelahan kediaman.

Katanya, ketiga-tiga anaknya kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk menerima rawatan manakala dia bersama anak saudara dibenarkan pulang.

Menurutnya, akibat kejadian itu bekalan elektrik rumahnya turut mengalami gangguan namun tiada sebarang kerosakan pada perkakas elektrik serta telefon pintar.

Sumber : UM

Tags: , , , , , , , ,

Category: INFORMASI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *