4 Pegawai Dan Anggota Polis Cedera Dilibas Parang Dan Kerambit. |TUMPAT: Empat pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini, cedera dilibas parang dan kerambit oleh seorang lelaki mengamuk di Kampung Sedar di sini, malam kelmarin.
Akibat serangan itu, dua mangsa luka di lengan, terpaksa menerima lapan jahitan serta luka sepanjang sembilan sentimeter di belakang kepala, manakala dua lagi cedera ringan di belakang badan dan tangan.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri, berkata semua mangsa yang berusia 20-an hingga 30-an itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah.
“Pada jam 8.30 malam Sabtu lalu, kami menerima panggilan kecemasan mengenai seorang lelaki dipercayai sakit mental mengamuk dan pegawai serta anggota terbabit bergegas ke lokasi untuk membuat tangkapan segera.
“Ketika proses tangkapan itu, suspek yang bersenjata sebilah parang dan kerambit bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan.
“Dalam pergelutan itu, semua mangsa mengalami kecederaan termasuk dua agak parah dan menerima jahitan akibat terkena libasan suspek yang berada di bawah pengaruh dadah itu,” katanya.
Beliau memberitahu pemberita selepas hadir menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Balai Wakaf Bharu di Dewan Cik Siti Wan Kembang di sini, di antara Sarjan Mejar Mohd Sakri Abdul Ghani yang menggantikan Sub-Inspektor Abd Halim Shafai yang akan bertugas di IPD Tumpat.
Mohd Azmir berkata, suspek berjaya ditahan dan pihaknya merampas sebilah parang berukuran 23.5 inci serta sebilah kerambit sepanjang tujuh sentimeter.
Katanya, saringan mendapati, suspek yang memiliki kad pesakit mental itu positif dadah jenis methampethamine.
“Semakan yang dibuat juga mendapati suspek memiliki satu rekod lampau di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan curi kenderaan.
“Lelaki itu direman empat hari mulai semalam hingga 16 Februari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 353 KK serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958,” katanya.
Sumber : BH