5 Individu Ditahan Polis Akibat Bertumbuk Di Jalan Raya.

| November 24, 2021 | 0 Comments

5 Individu Ditahan Polis Akibat Bertumbuk Di Jalan Raya. | AMPANG – Akibat bertumbuk di jalan raya sambil membawa senjata berupa gergaji dan payung menyebabkan lima individu ditahan di dua lokasi berasingan di Taman Bukit Teratai dan Taman Pandan Mewah, dekat sini malam tadi.

Empat lelaki dan seorang wanita tempatan berumur antara 16 hingga 48 tahun yang terdiri daripada pemandu dan penumpang kereta Perodua Myvi dan lori ditahan antara pukul 7.30 malam hingga 9 malam oleh sepasukan polis daerah.

Turut dirampas sebuah lori dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi serta senjata-senjata yang digunakan semasa kejadian.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pergaduhan itu dikesan berlaku pada pukul 4.30 petang di Bulatan Taman Seraya Ampang, kelmarin semasa kontraktor pendawaian (pengadu) berusia 48 tahun bersama anaknya menaiki lori dalam perjalanan ke tempat kerja dan telah berlaku perselisihan faham dengan sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki dua lelaki dan seorang wanita.

“Pengadu bertindak menyekat kereta Perodua Myvi dan mengarahkan mereka berhenti sehingga berlakunya pertengkaran dan pergelutan antara mereka dan kedua-dua pihak didapati memegang payung dan gergaji sebagai senjata.

“Kita dapati salah faham dan kurang sikap bertolak ansur menjadi punca kedua-dua pihak bergaduh di jalan raya itu,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesemua tangkapan negatif dadah dalam ujian saringan air kencing yang dijalankan dan hasil semakan rekod lampau mendapati salah seorang tangkapan mempunyai satu rekod jenayah.

Katanya, kesemua tangkapan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh menggunakan senjata.

Terdahulu, tular empat video berasingan di laman sosial memaparkan pemandu dan penumpang kedua-dua kenderaan bergaduh dan bertumbuk di jalan raya sambil membawa senjata berbahaya.

Sumber : Kosmo

Tags: , , , , ,

Category: INFORMASI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *