69 Orang Penduduk Lari Ketika Berangkat Ke Pusat Kuarantin. | Kota Kinabalu: Seramai 69 penduduk Pulau Gaya, di sini, diburu selepas dikesan melarikan diri dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Pondo, di pulau itu, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, usaha menjejaki 69 penduduk terbabit sedang giat dilakukan anggota dari Balai Polis Pulau Gaya.

Dalam kenyataan medianya malam ini, beliau berkata, penduduk terbabit dipercayai melarikan diri ketika berangkat ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC).

Berikutan itu, katanya kerajaan negeri menggesa penduduk terbabit atau sesiapa saja yang melarikan diri dari kawasan PKPD Kampung Pondo supaya kembali segera ke kampung berkenaan bagi memastikan tidak berlaku jangkitan kepada komuniti lain.

“Kegagalan mereka kembali ke Kampung Pondo dan jika tertangkap oleh pihak berkuasa boleh menyebabkan mereka diambil tindakan undang-undang mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Mereka juga boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) (No 4) (Pindaan) (No 16) 2021,” katanya.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penduduk kampung terbabit supaya menyalurkan maklumat ke balai polis terdekat.

Kampung Pondo, Pulau Gaya dikenakan PKPD sejak 30 Jun lalu hingga 13 Julai ini selepas dikesan berlaku penularan COVID-19 yang tinggi di lokaliti terbabit.

Sementara itu, berikutan kes yang tinggi di pulau itu, kerajaan negeri hari ini bersetuju supaya PKPD diperluaskan ke seluruh Pulau Gaya bermula lusa, 8 Julai.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri berkata, PKPD itu membabitkan penduduk di Kampung Kasuapan, Lok Urai, Kampung Pulau Gaya dan Kampung Pondo.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan terdapat peningkatan kes yang ketara di perkampungan terbabit yang mana 215 kes positif direkodkan hasil daripada 1,339 ujian saringan yang dilakukan dengan 25 sampel saringan masih menunggu keputusan.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan negeri bersetuju untuk melaksanakan PKPD di perkampungan Pulau Gaya, Kota Kinabalu berkuat kuasa 8 Julai hingga 21 Julai ini selaras dengan keputusan kerajaan persekutuan.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan keluar dan masuk ke lokaliti ini sekali gus mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 keluar dari lokaliti terbabit,” katanya.

Sumber : Metro

Share.

Leave A Reply