Covid-19. Ini Pengumuman Terbaru Perdana Menteri. | PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan lebih RM471.6 juta bagi tujuan pemberian Pakej Penjagaan Covid-19 (PPC) kepada Keluarga Malaysia kategori B40 dalam usaha memastikan diri dan keluarga mereka bebas daripada jangkitan Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sebagai persediaan negara ke arah era endemik yang antara lain bertujuan meringankan beban kewangan perbelanjaan isi rumah golongan itu.

Beliau berkata, bantuan PPC itu mengandungi pek pelitup muka guna semula (empat keping setiap keluarga), kit ujian kendiri Covid-19 (empat kit setiap keluarga), seunit pulse oximeter, seunit termometer dan risalah panduan penggunaan serta info kesihatan.

Kata beliau, pemberian PPC buat masa ini dimulakan dengan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang sudah berkeluarga dalam kalangan isi rumah B40 yang sudah berkahwin dengan ada atau tidak mempunyai anak; atau ibu atau bapa tunggal mempunyai anak.

“Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada lebih kurang 3.6 juta keluarga B40 dan secara keseluruhannya terdapat 8.4 juta penerima BPR.

“Usaha itu juga sebagai melatih diri membudayakan norma baharu sekali gus membantu melindungi keluarga mereka daripada jangkitan virus Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 dalam usaha meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan daripada risiko jangkitan wabak itu.

Beliau menjelaskan, keutamaan pemberian dos ketiga ini tertumpu kepada kumpulan yang berisiko tinggi terlebih dahulu seperti anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun dan warga tua dengan komorbiditi.

Kata Perdana Menteri, ini termasuk individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang apabila liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.

“Dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19, yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua.

“Untuk itu, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini,” katanya.

Perdana Menteri pada masa sama memberitahu, kesemua perincian berhubung pelaksanaan PPC dan pemberian dos ketiga vaksin akan diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Sumber : UM

Share.

Leave A Reply