Ini Cara Kempen Norhizam Yg Buat Ramai Orang TERUJA. | MELAKA: Sebaik sahaja selesai proses penamaan calon semalam, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee tidak menunggu lama menggunakan alam maya sebagai platform berkempennya.
Menerusi laman sosial Facebook, ‘Aku YB ke Kau YB?’, calon Bebas itu berjaya meledak perhatian orang ramai melalui poster ala filem berjudul, ‘WELCOME TO PENGKALAN BATU’ yang dimuat naik olehnya.
Poster berkenaan memaparkan Norhizam sebagai watak utama, dengan slogan, ‘Kau kenal aku siapa?’,disamping gambar tiga lagi pencabarnya iaitu calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kalsom Noordin; calon Pakatan Harapan (PH), Muhamad Danish Zainudin dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Azrudin Md. Idris.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Norhizam berkata, beliau perlu kreatif dan jauh terkedepan berbanding calon-calon berparti, memandangkan tiada jentera berkempen membantunya.
Katanya, prosedur operasi standard (SOP) diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak membenarkan kempen fizikal seperti ceramah telah memberikan kelebihan buatnya.
“Saya memang sudah jangka, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan ada kekangan sedemikian. Jadi saya sudah terlebih dahulu dengan pasukan siber, menjadikan laman sosial sebagai alternatif untuk berkempen.
“Segala petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah dicapai sepanjang saya berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu. Saya paparkan di situ, rakyat boleh menilai siapa saya, apa yang telah saya lakukan untuk mereka,” katanya ketika dihubungi.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Norhizam yang ketika itu Timbalan Pengerusi DAP Melaka menang di Pengkalan Batu dengan majoriti 2,756 undian.
Beliau menewaskan dua calon lain iaitu Chua Lian Chye (BN) dan Ramli Dalip (Pas).
Sumber : UM