Digelar Katak Dan Pembelot. Norhizam Dedah Punca Dia Keluar PH. | AYER KEROH: Norhizam Hassan Baktee percaya beliau mempunyai peluang cerah untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu kerana wakil rakyat teladan sepanjang tiga setengah tahun lalu.

Dalam temubual eksklusif dengan FMT, Norhizam berkata, beliau mampu menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi penduduk Pengkalan Batu dengan segera dan mahu dipilih semula untuk menangani lebih banyak masalah.

Kali ini, Norhizam bertanding atas tiket bebas selepas memenangi kerusi itu atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada 2018 sebagai ahli DAP.

Bekas Exco Melaka itu, yang terpalit kontroversi akibat beberapa kenyataan dahulu, berkata Pengkalan Batu ialah kampung yang terletak dalam kawasan bandar dan penduduknya terdiri daripada golongan miskin bandar.

Rata-rata penduduk di situ, katanya, memerlukan seorang wakil rakyat yang sedia “menghambakan” dirinya untuk rakyat dan turun padang tanpa sebarang protokol.

“Contohnya, hari ini beritahu kita nak kerusi roda, petang kita dah bagi. Hari ini dia nak katil, esok kita dah bagi katil. Hari ini dia beritahu kita masalah bumbung rumah, mungkin tiga hari selepas itu kita panggil kontraktor dan selesai masalah. Dan bukan sedikit. Di Pengkalan Batu sahaja, kita dah membaiki bumbung lebih 100,000 penduduk.

“Selama ini mereka tidak dapat wakil rakyat seperti saya. Alhamdulillah, selepas saya menjadi wakil rakyat dan merangkap Exco, saya buat itu semua,” katanya yang turut menghadapi saingan calon DAP berusia 25 tahun pada Sabtu depan.

Norhizam berkata, pengundi tidak pasti apakah yang boleh disumbangkan ahli politik muda seperti Muhammad Danish Zainudin kepada rakyat di Pengkalan Batu.

“Tapi, Datuk Norhizam sudah berbakti, sudah buat kerja dan sudah terbukti. Mereka kata nak menabur bakti, tapi Datuk Norhizam sudah berbakti, ternyata sudah berbaki kepada DUN Pengkalan Batu.”

Norhizam turut menafikan dakwaan “katak” atau “pembelot”, sebaliknya beliau hanya keluar Pakatan Harapan (PH) selepas kerajaan negeri tumbang akibat tiga Exconya, Mohd Rafiq Naizamohideen, Muhammad Jailani Khamis dan Noor Effandi Ahmad keluar parti.

Katanya, beliau berubah arah, tetapi kekal sebagai wakil rakyat bebas kerana ingin terus berkhidmat kepada rakyat, namun ia sukar dilakukan tanpa peruntukan yang boleh diperolehi ADUN kerajaan.

“Saya bukan penyebab kerajaan itu tumbang. Saya pergi ke arah yang satu lagi ni sebab saya nak pengundi saya selesa.

“Kita boleh terus ada pusat khidmat masyarakat, ada peruntukan yang agak besar sedikit. Alhamdulillah, kita boleh menyantuni rakyat dan teruskan khidmat kita kepada rakyat di DUN Pengkalan Batu.”

Sumber : FMT

Share.

Leave A Reply