Kontroversi Iqbal. Pihak Astro Tampil Jelas Perkara Sebenar. | Kuala Lumpur: Penerbit program realiti nyanyian Big Stage musim keempat iaitu Astro Ria menegaskan usahawan kontroversi, Ahmad Iqbal Zulkefli memenuhi semua kriteria ditetapkan Big Stage walaupun tindakan membawa masuk Iqbal sebagai peserta ke-12 mengundang kecaman hebat pelbagai pihak termasuk penyanyi tanah air.

Pengurus Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh ketika dihubungi berkata, pihak penerbitan juga menyediakan pelbagai inisiatif kepada semua peserta untuk memperbaiki mutu persembahan mereka.

“Dengan 2.1 juta ‘views’ yang dimiliki Iqbal menerusi single pertama, Hujan, Big Stage menawarkan platform untuk membuktikan kebolehan dan kemampuan dirinya di pentas yang lebih besar.

“Apatah lagi di era digital kini, kita dapat lihat ramai bakat baharu di platform digital, namun vokal yang dipamerkan masih tidak dapat dibuktikan sepenuhnya.

“Ini kerana selepas melalui proses rakaman, banyak penambah baikan dilakukan dan hasilnya, lagu itu seakan sempurna dan sedap didengar. Namun, Big Stage adalah pentas dan realiti sebenar untuk peserta serlahkan kemampuan nyanyian mereka dan untuk penonton menilai,” katanya kepada Harian Metro.

Norzeha berkata, di Big Stage mereka turut menyediakan kelas dan bimbingan daripada profesional seperti guru vokal untuk membimbing mereka.

“Kita harapkan mereka dapat membuktikan kemampuan masing-masing. Kita sudah sediakan platform dan kini terpulang kepada mereka untuk menyahut cabaran dan meneruskan agenda seterusnya. Juri dan penonton akan membuat pilihan sekiranya dirasakan mana-mana peserta tidak layak untuk mara ke minggu seterusnya,” katanya.

Menurut Norzeha, Big Stage membuka peluang yang sama rata buat semua bakat muda dan penyanyi ‘baru nak up’ yang sudah berada di dalam industri untuk melangkah lebih jauh.

“Untuk Big Stage kali ini, kita ada kepelbagaian peserta, iaitu peserta berbakat dan peserta tular seperti Iqbal dan Jerung Merah. Syarat utama buat peserta, mereka haruslah berusia 30 tahun ke bawah dan memiliki video sama ada lagu sendiri atau ‘cover’ di mana-mana platform media sosial dengan tontonan lebih 500,000. Dan, semua peserta Big Stage 2022 termasuk Iqbal memenuhi kriteria itu,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Iqbal dalam satu temu bual selepas dia membuat persembahan yang mana mahu menarik diri, Norzeha berkata, pihaknya tidak menerima apa-apa pemakluman.

“Setakat ini pihak produksi dan Astro tidak menerima sebarang berita mengenai mana-mana peserta yang ingin menarik diri. Sama seperti peserta lain, Iqbal sudah pun menandatangani perjanjian untuk berada di dalam pertandingan selama lapan minggu jika nasib menyebelahi dirinya dan jika tidak, dia perlu berada dalam pertandingan sehingga tersingkir.

“Namun, seandainya ada peserta yang ingin menarik diri atas sebab-sebab yang munasabah, kami akan mempertimbangkan,” katanya.

Big Stage 2022 yang dihoskan Alif Satar dan Sherry Al Hadad bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria.

Terdahulu, kemunculan Iqbal dalam program berkenaan, Ahad lalu menyampaikan lagu Biarlah Bulan Bicara mengundang kecaman ramai.

Rata-ratanya menyifatkan nyanyiannya teruk dan tidak layak berada di pentas itu.

Malah, juri tetap program itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak tahu mahu memberikan komen apa.

“Saya sebenarnya tak tahu nak cakap macam mana, tak tahu nak bagi markah macam mana. Memandangkan syarat nak masuk Big Stage ‘view’ di YouTube lebih dari 1 juta dan ‘view’ Iqbal lebih 2.1 juta itu membuatkan layak berada di sini. Kita tak nafikan. Tapi tak apa, saya bagi peluang. Mana tahu dia bagi kejutan pula untuk minggu seterusnya,” katanya.

Sumber : HM

Share.

Leave A Reply