Kes Suami Isteri Terbak4r Dan Dlbunuh. Ini Respon Ayah Buat Ramai Hiba…| KHALIFAH MEDIA NETWORKS – BAPA kepada wanita yang dipercayai dibunuh bersama suaminya di Sepang, kelmarin, menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kematian anaknya.
Abdul Hamid Yunus, 57, bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kejadian menimpa Norwahidah.
“Saya tak ada apa nak ulas sebab belum berjumpa dengan pegawai penyiasat, jadi saya tak boleh bagi apa-apa ulasan atau komen tak berasas dengan status mangsa.
“Cuma, saya bersyukur hari ini jenazah selamat disemadikan,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Masjid An-Najah, Ayer Hitam di Jerlun, hari ini.
Jenazah Norwahidah, 28, selamat dikebumikan pada jam 10 pagi ini, selepas solat jenazah pada jam 9 pagi.
Mangsa yang juga anak sulung dari empat beradik dikebumikan di kampung halaman nenek sebelah ibunya.
Suasana sedih menyelubungi majlis pengebumian itu yang turut dihadiri pegawai dan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya dan Kedah.
Semalam, polis mengklasifikasikan semula kematian Norwahidah dan suaminya Wan Mohd Baharul Nizam Wan Bakar, 35, sebagai kes bunuh.
Pasangan itu ditemui mati dalam kebakaran di sebuah rumah teres setingkat di Taman Desa Vista, Sepang.
Kedua-dua mereka adalah penjawat awam yang bertugas di JPN, Putrajaya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, ia berdasarkan laporan awal bedah siasat mangsa wanita mendapati ada kesan kecederaan akibat hentakan benda keras di kepala.
Kredit : Harian Metro