Hati-Hati! Puding Buih Boleh Membawa Maut. Dua beradik berusia sembilan dan tujuh tahun mengalami cirit-birit dan muntah dipercayai akibat memakan puding buih.
SELEPAS seminggu berpuasa, sudah kedengaran kes keracunan makanan melibatkan bazar Ramadan. Dua beradik berusia sembilan dan tujuh tahun mengalami cirit-birit dan muntah dipercayai akibat memakan puding buih yang dibeli di sebuah bazar Ramadan di Kuala Terengganu.
Mangsa dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.
Kes berkenaan mengimbau kembali kejadian kira-kira dua tahun lalu apabila seorang wanita berusia 25 tahun meninggal dunia akibat keracunan makanan selepas memakan puding buih yang dibeli secara dalam talian pada penghujung Ramadan.
Wanita dari Marang itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10.40 pagi pada 3 Jun 2020 selepas menerima rawatan selama 10 hari di unit rawatan rapi (ICU) disebabkan kegagalan multiorgan akibat kejutan sepsis.
Bukan wanita itu sahaja, malah seramai 98 mangsa turut dikejarkan ke hospital apabila mengalami muntah dan cirit-birit selepas menikmati puding buih itu.
Hasil ujian makmal mendapati penggunaan telur luput tarikh melebihi dua minggu menjadi punca utama kes berkenaan. Peniaga puding buih tersebut turut diambil tindakan.
Insiden tersebut mengejutkan kerana ia merupakan kes pertama membabitkan kematian akibat keracunan puding buih. Siapa sangka, juadah yang menggunakan telur sebagai bahan utama dengan pelbagai warna yang menarik boleh meragut nyawa.
Sumber: Sinar Harian