Tangguh kahwin atau berkahwin lewat dikesan sebagai antara faktor penurunan Kadar Kesuburan Jumlah (KKJ) bagi wanita di Malaysia sejak lima dekad lalu.
KKJ merujuk kepada purata bilangan anak yang akan dilahirkan sekiranya seseorang wanita terus hidup hingga akhir tempoh umur reproduktifnya iaitu antara usia 15 hingga 49 tahun.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr. Maziah Che Yusoff berkata, jika trend itu berterusan, kadar pertumbuhan tahunan penduduk akan berterusan menurun hingga paras 0.7 peratus pada 2050.
Beliau berkata, tangguh kahwin atau berkahwin lewat menyebabkan tempoh reproduktif menjadi lebih pendek sekali gus cenderung untuk mempunyai saiz keluarga yang kecil.
“KKJ di Malaysia telah menurun dengan pesat daripada 6.7 anak bagi seorang wanita pada 1957 kepada 4.0 anak pada 1980, 3.0 anak (2000), 2.1 anak (2010) dan 1.7 anak (2021).
“Penurunan kadar kesuburan ini sekali gus mempercepat proses penuaan penduduk di Malaysia dan dijangka 15 peratus penduduk Malaysia adalah berusia 60 tahun ke atas pada 2030,” katanya ketika berucap secara dalam talian sempena Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2022 (PERKKS 22), hari ini.
Maziah berkata, jika KKJ itu terus menurun, penduduk Malaysia akan mencapai jumlah maksimum penduduk seramai 46 juta orang pada 2071 sebelum mengalami penguncupan penduduk pada 2072.
Pertumbuhan ekonomi menjadikan individu sibuk mengejar kerjaya, memberi tumpuan penuh pada tugas berbanding membina sebuah keluarga sebaik menamatkan pengajian masing-masing.
Faktor ini adalah antara punca yang dilihat menyumbang pada kurangnya minat pasangan untuk mendapatkan zuriat lebih awal selain lebih suka hidup tanpa dibebani tanggungjawab tambahan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kemandulan ditakrifkan sebagai ketidakmampuan pasangan yang aktif secara seksual, tanpa menggunakan kontrasepsi untuk mengandung dalam tempoh satu tahun.
Perunding Obstetrik dan Pakar Ginekologi Hospital Manipal Klang, Dr A Baskaran, berkata satu daripada enam pasangan di negara ini mengalami masalah kemandulan.
“Kadar kemandulan di Malaysia dianggarkan sekitar 10 peratus hingga 15 peratus daripada keseluruhan populasi, iaitu melebihi 300,000 orang.
“Kadar kesuburan di negara ini menurun daripada tiga orang anak bagi setiap wanita pada tahun 2000 kepada 2.1 pada tahun 2012,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Baskaran berkata, antara faktor yang menjadi punca utama kemandulan ialah faktor umur dan fizikal.
“Bagi faktor umur, kesuburan berkait rapat dengan usia lelaki dan wanita. Kita mempunyai tempoh kesuburan tersendiri. Bagi wanita, kesuburan berkurangan selepas berumur 30 tahun.
“Nisbah kesuburan berkurangan sebanyak separuh bagi wanita yang berusia 35 tahun berbanding dengan yang berusia 31 tahun.
“Semakin meningkat usia, nisbah kesuburan semakin berkurangan dan apabila mencecah usia 38 tahun, tahap kesuburan akan jatuh dengan mendadak,” katanya.
Sumber: Kosmo