Seorang Kanak-Kanak Perempuan ‘Bermandikan’ Telur. | PETALING JAYA – Tindakan seorang kanak-kanak perempuan yang bermandikan lebih seratus biji telur ayam yang dipecahkan olehnya bikin orang ramai ‘pening’.
Perkongsian video melalui akaun TikTok @rais_murtabak_kadok yang dipercayai ibu kepada kanak-kanak tersebut menyaksikan aksi riang anak perempuannya memecahkan lebih seratus biji telur yang akan digunakan bagi membuat murtabak untuk dijual .
Bagaimanapun, ibu kepada kanak-kanak perempuan tersebut menzahirkan rasa reda di ruang kapsyen dengan menulis ‘anak oh anak, sabar sahajalah, telur sudah menjadi bubur’.
Sejurus video itu telah tular, majoriti besar orang ramai meninggalkan pelbagai reaksi termasuklah memahami perasaan sang ibu tersebut apatah lagi telur sangat sukar untuk diperolehi sekarang kerana dipercayai kekurangan stok.
“Ya Allah anak, bukan mudah hendak dapat telur sekarang, menangislah emak awak adik, sabarlah kakak, budak cerdik memang banyak telatahnya,” komen seorang pengguna TikTok.
“Allahuakhbar, kena sabar yang paling tinggi buat ibu bapa dia, telur dekat sini susah dapat tetapi awak boleh mandi telur ye? Tinggal masuk dalam kuali sahaja ni, comel sungguhlah telatah budak-budak,” komen pengguna TikTok yang lainnya.
“Telur ibarat perkara penting dah sekarang adik, awak boleh sampai seratus lebih biji telur awak pecahkan dan buat mandi, bertuah sungguh la budak kecik ini,” usik pengguna TikTok itu.
Sementara itu, terdapat juga orang ramai yang lebih memikirkan bagaimana cara hendak membersihkan telur-telur yang telah dipecahkan itu kerana pastinya akan meninggalkan bau yang hanyir dan kurang enak.
“Kalau aku menangis bukan sebab susah dapat atau harga telur tetapi sebab kena bersihkan, itu yang tidak sanggup dengan bau hanyir lagi, nasib bukan anak aku, anak duhai anak,” tulis pengguna TikTok itu.
“Telur memang susah hendak dibersihkan, sudah bersih pun akan ada lagi bau hanyir dia. Memang boleh menangis masa hendak bersihkan ini,” kongsi pengguna yang lainnya.
Setakat ini, perkongsian video yang tular itu telah meraih lebih 400,000 tontonan, 15,100 tanda suka dengan 2207 perkongsian dan dihujani dengan pelbagai komen daripada orang ramai.
@rais_murtabak_kadok ya allah xtahu smpi FPY video satu lagi..hahaha..ni full video..si kakak dan abg pn join sekali lak tu..100 biji lebih telur….haha#CapCut #abgmurtabakkadok #usahawanmuda #anak2ku #sabar #pedih #menangis #suka #ketawa ♬ original sound – ælya
Sumber : Kosmo
ARTIKEL LAIN UNTUK DIBACA
Seorang Wanita Maut Dalam Kemalangan.
DUNGUN: Seorang wanita maut selepas kenderaan yang dipandunya terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 74.5 Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran persimpangan lampu isyarat Che Lijah di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi, Safitri Mulyana Mohamad berasal dari Kampung Seberang Pintasan meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran cedera di beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, kemalangan maut itu membabitkan tiga buah kenderaan termasuk sebuah lori.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Viva yang dinaiki mangsa dari arah Bandar Dungun menghala ke Kuala Terengganu tiba-tiba terbabas ke kanan jalan memasuki laluan bertentangan.
“Pemandu lori jenis Daihatsu Delta, 45, yang berada di laluan bertentangan cuba mengelak ke kanan jalan, namun mangsa masuk semula ke laluannya menyebabkan dua kenderaan itu bertembung dan kenderaan dipandu mangsa turut terseret beberapa meter.
“Dalam masa sama, sebuah proton saga dipandu wanita berusia 21 tahun yang berada dalam laluan sama turut bergesel dengan kereta dipandu mangsa,” katanya ketika kepada pemberita di sini hari ini.
Baharudin berkata, pemandu lori dan pemandu Proton Saga tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.