Nurul Izzah Bukan Lagi Penasihat Perdana Menteri. | Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar hari ini memaklumkan dia tidak lagi berkhidmat sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Nurul Izzah dalam satu kenyataan berkata, ini berikutan dia menerima pelawaan untuk menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat bagi membantu usaha memperkukuh ekonomi negara.

“Pengerusi Jawatankuasa Penasihat kepada Menteri Kewangan, Tan Sri Mohd Hassan Marican, telah mengundang saya menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat

bagi membantu usaha mereka dalam memperkukuh ekonomi negara dan rakyat. Saya dengan rendah diri menerima tanggungjawab ini.

“Menerusi peranan baru ini, saya tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada YAB Perdana Menteri. Saya amat menghargai setiap

peluang untuk menyumbang kepada negara demi melakar masa depan yang lebih baik untuk Malaysia

Izzah berkata dia menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas setiap sokongan yang diberikan, baik daripada orang ramai mahupun seluruh pasukan perkhidmatan awam dan komuniti Kerajaan.

Terdahulu, Hassan berkata dia menyampaikan undangan kepada Nurul Izzah, bersama pengurus kanan Petronas Khairil Anuar Ramli.

Anwar sebelum ini menerima kritikan heba selepas dia mengumumkan pelantikan Nurul Izzah sebagai penasihat kanannya, yang didakwa merupakan amalan kronisme.

Perdana menteri bagaimanapun menyebut mengenai latar belakang akademik Nurul Izzah, malah anak perempuannya itu tidak akan menerima sebarang gaji daripada

jawatan itu, bagi mempertahankan pelantikannya.

TERDAHULU DILAPORKAN, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan, Tan Sri Hassan Marican telah menjemput Nurul Izzah Anwar untuk mengetuai secara bersama sekretariat yang dibentuk bagi menyokong operasi jawatankuasa itu.

Hassan dalam satu kenyataan berkata, satu sekretariat untuk menyokong operasi Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan telah dibentuk dan ia terletak di Menara Berkembar PETRONAS.

Katanya, Nurul Izzah dijemput untuk mengetuai secara bersama sekretariat yang dibentuk itu bersama Khairil Anuar Ramli.

“Jawatankuasa Penasihat melapor terus kepada Menteri Kewangan dan akan bermesyuarat sekerap mungkin bergantung pada keperluan.

“Satu sekretariat untuk menyokong operasi Jawatankuasa Penasihat telah dibentuk dan terletak di Menara Berkembar PETRONAS,” katanya dalam satu kenyataan.

Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan telah mengadakan mesyuarat sulungnya pada 10 Februari 2023, yang mana ia dipengerusikan oleh Hassan, yang juga Penasihat PETRONAS.

Mesyuarat itu dihadiri oleh ahli Jawatankuasa Penasihat yang lain iaitu Pengerusi Sarawak Energy Bhd, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi; Pengerusi Eksekutif FPSO Ventures Sdn Bhd, Datuk Ahmad Fuad Md Ali; Profesor Ulung Ekonomi Universiti Malaya, Datuk Profesor Ulung Rajah Rasiah dan Profesor Ekonomi di Sunway University Business School, Dr Yeah Kim Leng.

Mengulas mengenai peranan Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan, Hassan berkata, jawatankuasa itu akan menasihati Menteri Kewangan mengenai cara untuk meningkatkan asas hasil negara dan mengurangkan perbelanjaan mengurus.

Beliau berkata, Jawatankuasa Penasihat itu juga akan menasihati Menteri Kewangan mengenai perkara berkaitan subsidi, termasuk menyemak dan menyusun semula subsidi sedia ada dan penyediaan perlindungan sosial yang lebih holistik.

Katanya, peranan jawatankuasa itu juga membabitkan perkara berkaitan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk menentukan kaitannya dalam konteks semasa dan menyatukan yang mana sesuai dan perkara berkaitan hutang negara dan tadbir urus yang baik.

Sebelum ini, Anwar dalam satu kenyataan berkata, lima individu dinamakan bagi menganggotai badan penasihat khas yang akan membantunya sebagai Menteri Kewangan.

Perdana Menteri menegaskan badan penasihat khas yang dilantik itu tidak akan menerima sebarang bayaran daripada kerajaan.

Sumber : MK

Share.

Leave A Reply