Lori Kayu Balak Terbalik. Ini Keadaan Terkini Wanita Dihempap Kayu Balak. | KHALIFAH MEDIA NETWORKS : KOTA BHARU – Tunang kepada mangsa kemalangan lori balak, Nik Amnan Arif Nik Anuar, 22. Menafikan Siti Norelyana Kamarulzaman, 21, telah meninggal dunia serta mengandung sebagaimana yang tular serta dilaporkan di media sosial.
Menurutnya, tunangannya itu kini ditidurkan dan masih dalam pemantauan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dekat sini.
“Saya sangat terkilan dengan apa yang dikongsikan oleh pihak tidak bertanggungjawab berkenaan Siti Norelyana.
“Dia tidak mengandung malah masih lagi hidup,” katanya dengan nada sedih.
Menurutnya, ketika ini mereka sekeluarga sedang menunggu keputusan imbasan tomografi berkomputer kali kedua yang dilakukan di HRPZII.
MOHON DOA ORANG RAMAI
Nik Amnan Arif memohon kepada orang ramai untuk mendoakan semoga Siti Norelyana cepat sedar dan pulih seperti sedia kala.
Wanita terbabit dilaporkan mengalami patah tulang punggung dan tulang rusuk serta kecederaan serius pada hati, limpa dan hempedu serta usus.
Pada Selasa dilaporkan, seorang wanita hampir maut apabila motosikal yang ditunggangnya dihempap kayu balak dalam kejadian di Persimpangan Bendahara Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang.
Kejadian jam 11.23 pagi itu berlaku apabila lori membawa muatan kayu balak terbabit terbalik ketika mengambil selekoh.
Difahamkan semasa kejadian Siti Norelyana dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Bandar Utama Gua Musang.
PUNCA KEJADIAN
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Sik Choon Foo berkata, ‘turn-table’ patah menjadi punca kepada sebuah lori yang membawa muatan balak terbalik lalu menghempap motosikal yang ditunggangi wanita terbabit.
Pada masa sama kayu balak itu turut mengenai sebuah kereta jenis Toyota Vios yang berhenti di persimpangan itu semasa lampu isyarat merah.
Ia berdasarkan maklumat siasatan awal yang diperoleh, bagaimanapun pemandu treler dan kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
BERITA TERDAHULU
‘Turn-table’ patah menjadi punca sebuah lori yang membawa muatan balak terbalik lalu mengenai motosikal yang ditunggang seorang wanita dalam kejadian di Persimpangan Bendahara Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pada masa sama kayu balak itu turut mengenai sebuah kereta jenis Toyota Vios yang berhenti di persimpangan terbabit semasa lampu isyarat merah.
“Ini adalah maklumat siasatan awal yang diperoleh. Bagaimanapun pemandu treler dan kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Sementara penunggang motosikal cedera dan dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurut beliau, semasa kejadian lori yang dipandu lelaki berusia 58 tahun dari arah bandar utama menghala ke Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang.
Katanya, setiba di lokasi semasa membelok, ‘turn-table’ treler tersebut patah menyebabkan ekor kenderaan berat yang membawa balak itu terbalik
Choon Foo memberitahu, ekoran itu kayu balak berkenaan telah tergolek lalu mengenai motosikal yang ditunggang wanita berkenaan serta kereta Toyota Vios di laluan bertentangan.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat.
“Pada masa sama, kita masih menjalankan siasatan lanjut. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian 09-9121222 atau ke balai polis berhampiran,” katanya.
Sumber : SHÂ