Adakan PRN Johor Ketika Kes Meningkat. Ini REAKSI Adham Baba. | JOHOR BAHRU: Peningkatan kes positif Covid-19 yang direkodkan pada ketika ini dilihat tidak menjadi penghalang untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diteruskan.

Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pihaknya lebih yakin dengan pemberian vaksin Covid-19 termasuk suntikan penggalak yang telah diberikan sebagai pelindung daripada jangkitan.

Tambahnya, keadaan kini juga adalah lebih baik berbanding ketika mengadakan PRN di Melaka dan Sarawak sebelum ini.

“Pihak berkuasa dalam mengendalikan SOP (prosedur operasi standard) ini dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah tentu akan melindungi pengundi daripada terjejas dengan jangkitan.

“Saya yakin persiapan SPR terhadap kaedah dan cara di tempat mengundi itu akan bertepatan dengan unsur-unsur memberi perlindungan di samping boleh keluar mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program perjumpaan Ketua Penerangan UMNO Johor dengan Media Johor, di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah melaporkan sebanyak 10,089 kes harian Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

Daripada jumlah itu, 77 kes bersamaan 0.76 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5 manakala 10,012 kes iaitu 99.24 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Mengulas lanjut, Dr. Adham yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, beliau maklum bahawa kes Covid-19 di negeri ini adalah kesan daripada terdedah dengan varian baharu, Omicron.

“Oleh itu, kita perlu meminta kerajaan supaya segera mengambil tindakan bagi melandaikan keluk dan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negeri ini.

“Ini adalah antara langkah yang perlu diambil selain pemberian dos penggalak dan vaksin termasuk kepada kanak-kanak, itu lebih penting,” ujarnya.

Sumber : UM

Share.

Leave A Reply