ALLAHUAKBAR. Lelaki Warga Emas Meninggal Dunia Ketika Dengar Kuliah Dhuha. | YAN – Seorang warga emas mengakhiri riwayat hidupnya dalam keadaan cukup indah apabila menemui ajal ketika menuntut ilmu dalam kuliah duha di Surau Ma’had As-Syatirie, Kampung Sungai Dedap di sini semalam.
Mahamad Md. Din, 74, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10 pagi ketika membaca surah al-Fatihah sebaik tausiah bertajuk Darjat seseorang di sisi Allah yang disampaikan Tuan Guru, Ustaz Zulkiflie Mohd. Sohaimi selesai.
Pembantu Mudir Pusat pengajian Islam, Maahad Tahfiz As-Syatirie, Muhammad Faiz Badruddin berkata, arwah dari Kampung Sungai Limau Dalam di sini sering hadir ke majlis ilmu di surau itu.
“Pak Anjang (panggilan arwah) sangat menepati masa tetapi pagi tadi (semalam) dia terlewat kerana menziarahi kematian di kampungnya.
“Selepas bersalaman dengan tuan guru, dia kemudian duduk dan mendengar kuliah sehingga selesai. Tuan guru kemudian meminta jemaah membaca surah al-Fatihah untuk dihadiahkan pahalanya kepada jemaah yang telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Muhammad Faiz, belum sempat surah itu selesai dibaca, arwah telah rebah dengan kakinya melunjur ke arah kiblat dan tuan guru sempat mengajar kalimah Allah sebelum dia disahkan meninggal dunia.
Sementara itu, anak arwah yang hanya mahu dikenali sebagai Zara, 44, berkata, mereka sangat terkejut dengan kejadian itu kerana bapanya tidak mempunyai penyakit.
“Pagi tadi (semalam) selepas solat subuh di Masjid Sungai Limau, ayah pulang sebelum keluar semula bagi menziarahi kematian. Selepas itu dia ke surau untuk ikuti kuliah duha dan tidak lama kemudian, kami dapat berita dia sudah tiada,” katanya.
Ujar Zara, arwah bapanya merupakan bekas askar wataniah dan banyak meluangkan masa mendengar bacaan al-Quran.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Sungai Limau sebelum solat asar semalam.
Arwah meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak.
Sumber : Kosmo
ARTIKEL LAIN UNTUK DIBACA
Kematian Yang Dicemburui. Lelaki Meninggal Dunia Ketika Solat Isyak Berjemaah
Seorang lelaki berusia 51 tahun meninggal dunia semasa solat Isyak berjemaah di Masjid Annur (MAN), Saujana Utama, Sungai Buloh malam tadi.
Memetik Utusan, pesara Tentera Diraja Malaysia (TUDM) yang berasal dari Melaka itu sebelum itu rebah dalam rakaat pertama sebelum disahkan meninggal dunia. Kematiannya disahkan oleh sekumpulan paramedik dari Hospital Sungai Buloh.
Menurut abang mangsa, adiknya sudah sembilan tahun bersara dari TUDM. Allahyarham menjalankan perniagaan menjahit kusyen dan bantal yang diusahakan bersama isterinya.
Sepanjang pengetahuannya, Allahyarham yang tinggal Saujana Perdana sihat sahaja.
Allahyarham mempunyai empat orang anak berusia antara 16 hingga 23 tahun. Anak sulungnya baru sahaja bekerja selepas menamatkan pengajian.
Jenazah akan akan dimandikan di MAN pada kira-kira jam 8.30 pagi ini dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Cerakah pada 11 pagi ini.
Insiden ini mendapat perhatian daripada seorang pendakwah, Pahrol Mohamad yang juga menjadi jemaah di situ berkata mereka mencemburui pemergian Allahyarham iaitu ketika solat Isyak pada bulan Ramadan.
Dalam satu perkongsiannya di Facebook, beliau berkata ketika imam membaca surah pertama solat Isyak malam tadi, tiba-tiba kedengaran seorang di belakangnya rebah dengan bunyi suara yang agak kuat ‘Allah’.
Jelasnya lagi, usai solat beberapa orang menerpa untuk memberi pertolongan cemas selain jemaah lain memberi ruang bagi proses pengudaraan yang baik serta mendoakan Arwah.
“Beliau tidak sedarkan diri. Usai solat tarawih diikuti solat witir, dimaklumkan yang jemaah tersebut telah meninggal dunia.
“Saya terpegun. Sayu. Sedih. Begitu cepat dan tiba-tiba Izrail menjemputnya pulang. Dan alangkah indah kematiannya…di rumah Allah pada malam Ramadan yang berkah, sedang solat serta sempat mengucapkan nama Allah…Cemburu,” tulis di Facebook miliknya.
Sumber : SK