Anak Menantu Dan Tiga Cucu ‘Pergi’ Serentak. | KHALIFAH MEDIA NETWORKS : Pekan: Seorang ibu tidak menyangka akan kehilangan anak, menantu dan tiga cucu serentak. Sebaik dimaklumkan keluarga itu terbabit dalam kemalangan di Kilometer 65 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin di sini, petang semalam.
Semek Muda, 62, berkata. Keluarga itu begitu rapat dengannya terutamanya tiga cucunya kerana sempat makan tengah hari bersama di rumahnya sebelum mereka bertolak ke Kuala Rompin, Rompin.
REDA DENGAN PEMERGIAN ANAK KETIGANYA
Bagaimanapun, dia reda dengan pemergian keluarga itu. Terutama anak perempuannya iaitu anak ketiga daripada lapan beradik. “Saya bersyukur kerana Allahyarham menantu dan anak turut membawa bersama tiga anak mereka. Bagi saya, Allah SWT yang Maha Mengetahui.
“Tetapi paling terkesan kerana anak saya (Rahimah Awang Muda) sering membantu terutama membuat ketupat palas pada Ramadan dan Syawal…ketiadaannya begitu dirasai.
“Saya juga tidak pasti akan membuat ketupat palas selepas ini kerana Allahyarham sudah tiada kerana dia adalah pembantu,” katanya ketika ditemui di Masjid Nenasi di sini, hari ini.
PERUBAHAN PADA KELUARGA
Ditanya mengenai sebarang perubahan yang dilihat kepada keluarga itu. Semek berkata, tiada yang dapat dinyatakan kerana menantu dan anak serta tiga cucu biasa-biasa sahaja.
Menurutnya, mereka cuma memaklumkan akan ke Kuala Rompin. Kerana ada urusan peribadi dan akan pulang selepas itu. “Tetapi saya dikejutkan dengan berita mereka terbabit dalam kemalangan.
“Sebaik tiba di tempat kejadian. Saya dimaklumkan mereka berlima meninggal dunia dan tidak sangka tetapi reda dengan kejadian yang berlaku,” katanya.
Sementara itu, abang Allahyarham Rahimah, Mohd Yusof , 41, berkata. Pada awalnya dia tidak dimaklumkan keluarga adik perempuannya itu meninggal dunia kerana menyangka hanya terbabit kemalangan.
Menurutnya, pemergian keluarga itu begitu dirasai terutama dia begitu rapat dengan tiga anak saudaranya itu.
“Semalam, saya sempat menggosok kepala dua anak saudara lelaki itu dan mereka sepatutnya tidur di rumah saya malam tadi.
“Walaupun sedih dengan kehilangan mereka, saya dan keluarga reda,” katanya.
KERETA HILANG KAWALAN
Terdahulu, jenazah lima beranak itu dimandi dan dikafankan di Hospital Pekan, sebelum dibawa ke Masjid Nenasi, untuk solat jenazah.
Mereka dibawa dengan menaiki lima van jenazah dan tiba di masjid pada jam 5.30 pagi dari Hospital Pekan.
Lebih 200 orang hadir pada pengebumian termasuk ahli keluarga, saudara mara dan sahabat serta penduduk kampung.
Dalam nahas jam 7 malam itu, kereta jenis Proton Wira yang dinaiki keluarga terbabit dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina dinaiki dua individu.
Siasatan awal polis mendapati nahas berlaku apabila kereta dipandu Hamzah sedang dalam perjalanan dari arah Rompin menghala ke Nenasi, Pekan, manakala Grand Livina yang dipandu lelaki berusia 51 tahun pula dari arah Kuantan menghala ke Rompin.
Setiba di lokasi, Proton Wira dinaiki keluarga terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung Nissan Grand Livina.
Akibat perlanggaran itu, lima individu yang menaiki Proton Wira terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu lelaki serta penumpang wanita berusia 43 tahun dalam Nissan Grand Livina pula mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Rompin untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sumber : HM