Anggota Polis Dirempuh Treler Ketika Bertugas Di Pos Pengawal | TAPAH – Seorang anggota polis cedera selepas sebuah treler membawa muatan barangan sukan merempuh pagar dan pos pengawal Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar pukul 1.20 pagi itu, mangsa, Lans Koperal Jovie Jihom, 23, cedera di bahagian muka dan tangan kiri.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, ketika kejadian, anggota terbabit sedang bertugas dan berada di dalam pos pengawal.
Treler hilang kawalan dan terbabas
Katanya, sebuah treler dipandu lelaki berusia 31 tahun yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke arah Ipoh hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh pos pengawal berkenaan.
“Rempuhan itu menyebabkan pos pengawal tersebut runtuh dan terdapat seorang anggota terperangkap di dalam runtuhan. Mangsa yang mengalami kecederaan di muka dan tangan dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Pemandu negatif dadah
Menurut beliau, pemandu treler yang cedera pada tangan kanan telah dibawa ke Bahagian Narkotik IPD Tapah untuk menjalani ujian saringan air kencing dan hasilnya didapati negatif daripada pengambilan barang terlarang.
“Permohonan reman ke atas pemandu treler itu akan dijalankan esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sumber: Kosmo
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Pemandu Grab M4ut Dirempuh Lori Ketika Berhenti Di Lorong Kecemasan | SUNGAI PETANI – Tindakan seorang pemandu Grab berhenti di luar lorong kecemasan mengundang padah apabila dia maut dilanggar sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 92.1 Lebuh Raya Utara- Selatan arah selatan dekat Bedong petang tadi.
Mangsa, Mohd Nazri Elias,50, yang mengalami kecederaan parah di kepala disahkan maut di tempat kejadian dalam kemalangan pukul 3.10 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata,kejadian berlaku ketika kereta jenis Proton Persona dinaiki mangsa berhenti di lorong kecemasan tetapi bahagian tayar hadapan dan belakang berada di lorong kiri.
” Ketika kejadian kereta dipandu mangsa dan lori jenis Isuzu yang dipandu Abdul Halim Murugan Abdullah,51, dari arah Plaza Tol Gurun ke Plaza Tol Sungai Petani Selatan.
“Sebaik berhenti di luar lorong kecemasan itu,mangsa keluar dari kenderaannya dan dalam masa sama lori yang berada di lorong kiri laluan tidak sempat mengelak lalu melanggarnya dan bahagian tepi kanan keretanya,” katanya.
Mangsa yang beralamat di Felda Chuping, Kangar, Perlis maut di lokasi kejadian manakala pemandu lori yang beralamat di Felda Kerteh 5, Dungun, Terengganu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: Seorang Lelaki Meninggal Dunia Lepas Langgar Kereta Berhenti Di Lorong Kecemasan
Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 128.4 Lebuhraya Utara Selatan (Pagoh-Yong Peng) dekat sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila lelaki berusia 32 tahun itu terlanggar belakang sebuah kereta yang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan pada enjin.
“Akibat perlanggaran itu menyebabkan lelaki yang berasal dari Kulai itu mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta berusia 59 tahun sekadar cedera ringan.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nora, Batu Pahat untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya dalam satu kenyataan pada tengah malam Ahad.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Polis Batu Pahat turut meminta mana-mana saksi awam yang menyaksikan kejadian berkenaan untuk menghubungi pegawai penyiasat Insp. Muhammad Asma’I Md Yusuff di talian 013-6550128 bagi membantu siasatan.
Sumber : Astro Awani