AWAS! Demam Denggi Masih Relevan Dan Bahaya. Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Koh Kar Chai menyatakan bahawa demam denggi masih relevan tetapi masyarakat kini lebih suka tidak hiraukannya kerana lebih berjaga-jaga terhadap Covid-19. Baca selanjutnya.

KUALA LUMPUR – Orang ramai yang secara berterusan mempunyai simptom demam denggi seperti demam berterusan, cirit birit dan sakit badan walaupun diuji negatif Covid-19, dinasihatkan untuk menjalani ujian demam itu di fasiliti perubatan, kata Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Koh Kar Chai.

Beliau berkata, bahaya demam denggi masih ada dan relevan, tetapi orang ramai kini lebih suka tidak mengendahkannya kerana mereka lebih berjaga-jaga terhadap Covid-19, berbanding dengan penyakit lain selepas hidup dalam pandemik itu selama lebih dua tahun.

“Dinasihatkan untuk berjumpa doktor untuk ujian denggi, jika demam berterusan dan rasa tidak sihat, kerana pada ketika ini tidak seperti Covid-19 tiada kit ujian diri tersedia untuk denggi.

“Orang ramai lebih risaukan mengenai Covid-19 dan sering terlupa mengenai denggi ketika pandemik ini. Bagaimanapun denggi masih ada dan ia satu ancaman penyakit yang kita perlu perhatikan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dr Kar Chai menambah, bahawa sesiapa sahaja tanpa mengira umur boleh menghidap penyakit yang serius akibat denggi atau Covid-19, dan kedua-dua jangkitan lebih berkemungkinan menyebabkan komplikasi kronik pada orang dewasa seperti diabetes dan penyakit jantung, selain kanak-kanak kecil.

Beliau menjelaskan, bahawa keadaan pesakit akan menjadi lebih teuk lagi jika mereka dijangkiti Covid-19 dan denggi secara bersekali, kerana ia melemahkan sistem imun, dan pesakit lebih terdedah untuk berada dalam keadaan kritikal.
Bagaimanapun beliau berkata, kebanyakan kes denggi mungkin tidak memerlukan pesakit dimasukkan ke hospital dan boleh diuruskan di rumah, walaupun pesakit dikehendaki untuk bertemu dengan doktor untuk pemeriksaan darah bagi memantau kiraan darah mereka setiap hari.

Beliau berkata, kebanyakan pesakit akan berasa lebih sihat dalam masa kira-kira seminggu selepas mengambil ubat sokongan dan penjagaan yang betul seperti yang diarahkan oleh doktor.

“Sekiranya mereka disahkan positif denggi di pusat perubatan, pesakit akan dinasihatkan oleh doktor jika mereka boleh dirawat di rumah atau memerlukan pemantauan lanjut di hospital, dan menggalakkan mereka minum banyak air dan cecair elektrolit untuk kekal terhidrat.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply