Bayi 5 Bulan Mati Kesejukan Selepas Ditinggalkan Ibunya. | Seorang bayi lelaki yang baru berusi lima bulan mati disebabkan cuaca sejuk. Bayi berkenaan ditinggalkan oleh ibunya di rumah. Baca selanjutnya.
Kiev: Seorang bayi lelaki berusia lima bulan maut akibat kesejukan selepas ditinggalkan ibunya yang pergi mewarnakan rambut.
Dalam kejadian di bandar Kamianka-Dniprovska itu, Yulia, 28, meninggalkan bayinya di rumah ketika suhu persekitaran -4 darjah Celsius.
The Sun melaporkan dia pulang ke rumah beberapa jam selepas itu dan mendapati anaknya sudah tidak bernyawa sebelum menghubungi ambulans.
Pasukan perubatan yang memeriksa bayi itu membuat kesimpulan bahawa mangsa meninggal beberapa jam sebelumnya.
Mereka melaporkan kes itu kepada polis dan siasatan mendapati Yulia meninggalkan bayinya itu bersama anak perempuannya berusia dua tahun di rumah mereka tanpa memastikan suhu rumah itu bersesuaian untuk kedua-dua kanak-kanak itu.
Dia memberitahu polis bahawa dia memberi makan kedua-dua anaknya dan meletakkan mereka di tempat tidur.
“Kemudian, saya pergi berjumpa seorang rakan untuk melurus dan mewarnakan rambut saya.
“Ketika pulang ke rumah, saya mendapati anak sudah mati,” katanya kepada polis.
Menurutnya, dia tidak menggunakan dapur kayu untuk memanaskan rumah sebelum pergi berjumpa rakannya.
Selain itu, dia dikatakan mengambil minuman keras di rumah rakannya, Olena.
Menurut Olena, mereka membeli enam liter bir dan minum arak itu, sebelum Yulia pulang ke rumah.
Pihak berkuasa menyiasat kes berkenaan sebagai pembunuhan.
Sumber : Metro