Bayi Lelaki Meninggal Dunia Akibat Covid-19. ALLAHU.

| July 13, 2021 | 0 Comments

Bayi Lelaki Meninggal Dunia Akibat Covid-19. ALLAHU. | KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki dilaporkan meninggal dunia akibat COVID-19 dan menjadi korban termuda sejak pandemik itu melanda negara.

Kisah sedih kematian bayi berusia 38 minggu itu dikongsikan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menerusi Facebook hari ini.

Menerusi perkongsian di media sosial itu, jenazah bayi terbabit dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selaseh dekat sini, malam tadi.

Lebih meruntun hati, ibu bayi terbabit kini bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di Ampang, manakala bapa dan lapan lagi anak mereka sedang menjalani kuarantin di rumah.

“Ya Allah…sayu hati kami di keheningan malam tadi, kali pertama menerima jenazah COVID-19 termuda, bayi lelaki berusia 38 minggu di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak, Taman Selaseh.

“Difahamkan ibunya kini masih bertarung nyawa di ICU. Bapanya pula bersama lapan orang lagi anak sedang menjalani kuarantin di rumah.

“Semoga dikurniakan ketabahan buat seluruh ahli keluarga. Insya-Allah, anak kecil ini menanti di syurga, memberikan syafaat buat kedua-dua orang tuanya di akhirat kelak,” menurut status dimuat naik itu.

Sementara itu, beberapa pengguna media sosial menzahirkan ucapan takziah dan mendoakan kesejahteraan keluarga bayi terbabit.

“Salam takziah buat keluarga arwah. Semoga keluarga ini diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan,” kata pengguna Facebook, Normah Mahmood.

“Semoga ibunya kembali sembuh dan diberi kekuatan kepada semua ahli keluarganya. Tunggu ibu ayah di sana,” kata seorang lagi pengguna media sosial itu, Azlina Ngah.

Sumber : BH

Tags: , , , , , , ,

Category: INFORMASI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *