Berang Ditegur. Seorang Pakcik Tendang Dan Ugut Bunuh Anggota Polis. | Petaling Jaya: Berang ditegur polis kerana berkumpul melebihi dua orang di sebuah restoran, seorang lelaki bertindak menendang dan mengugut membunuh anggota berkenaan di Taman Sri Manja di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian berlaku pada jam 9.30 malam ketika sepasukan anggota polis sedang membuat rondaan cegah jenayah.
“Ketika rondaan dilakukan, sepasukan polis melihat beberapa individu berkumpul melebihi dua orang semeja di sebuah restoran dan bertindak menegur mereka.
“Beberapa individu beredar namun seorang lelaki berusia 62 tahun datang ke arah anggota polis dan mengugut mahu membunuh salah seorang anggota berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nik Ezanee berkata, suspek juga enggan bekerjasama dan bertindak menendang seorang anggota ketika proses tangkapan dilakukan.
“Suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Petaling Jaya namun suspek bertindak mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis.
“Suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 90 Akta Polis 1967,” katanya.
Sumber : Metro