Berang Tak Dapat Beli Arak. Abang Pukul Adik.

| November 29, 2020 | 0 Comments

Berang Tak Dapat Beli Arak. Abang Pukul Adik. | Butterworth: Berang ditegur kerana kerap meminta wang daripada ibu mereka untuk membeli minuman keras menyebabkan seorang penganggur memukul adiknya dengan kerusi plastik di sebuah rumah di Taman Desa Murni di sini, petang semalam.

Dalam kejadian pada 6 petang itu, adik lelaki itu berusia 31 tahun yang tinggal di Paya Terubong ke rumah itu untuk melawat ibu bapanya tetapi dikejutkan dengan perbuatan abang sulungnya berusia 34 tahun mendesak ibu mereka untuk memberikan wang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, adiknya menegur supaya menghentikan perbuatan itu namun abangnya tiba-tiba mengamuk dan menghamburkan kata-kata lucah.

“Tidak cukup dengan itu, abangnya turut mengambil kerusi plastik dan memukul adiknya.

“Ekoran itu, adiknya mengalami luka pada lengan kiri dan jari kanan.

“Adiknya cuba mempertahankan diri sebelum bapanya bergegas ke balai polis untuk meminta bantuan bagi meleraikan amukan suspek,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, polis kemudian menahan suspek untuk siasatan lanjut.

“Melalui siasatan mendapati suspek baharu sahaja dibebaskan dari penjara bulan lalu dan mempunyai beberapa rekod jenayah.

“Suspek tidak mempunyai kerja tetap dan dia didapati kerap mengamuk setiap kali meminta wang daripada ibu bapanya untuk membeli minuman keras.

“Ketika kejadian kebetulan adiknya yang tidak tinggal bersama datang melawat dan menegur sikap suspek hingga menyebabkan lelaki itu berang,” katanya.

Menurutnya, suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sumber : Metro

Tags: , , , , , , , , ,

Category: INFORMASI, JENAYAH, KELUARGA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *