BERANG Tak Dapat Jumpa Anak. Lelaki Mengamuk Pukul Isteri. | AMPANG: Berang tidak dibenarkan berjumpa anak kerana sedang menjalani kuarantin COVID-19, seorang lelaki memukul isterinya hingga cedera dalam kejadian di rumah mereka di Taman Kosas, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 4 petang, wanita berusia 31 tahun itu cedera lengan kiri dan menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, polis menerima laporan daripada wanita itu yang juga pekerja pusat jagaan pada hari kejadian.

Menurutnya, berdasarkan laporan pengadu mendakwa dimarahi suami berusia 35 tahun dengan kata-kata kesat lalu memukulnya menggunakan tangan dan kayu selain mengacu garpu.

“Suspek juga turut menghalau pengadu keluar dari rumah. Pengadu luka di lengan kiri mendapat rawatan di hospital.

“Punca kejadian dipercayai suspek marah tidak dapat berjumpa empat anak berusia lapan bulan hingga tujuh tahun disebabkan pengadu bimbang dijangkiti COVID-19 kerana suspek menjalani kuarantin di rumah. Atas alasan itu, pengadu menghantar kesemua anaknya ke rumah keluarga di Cheras,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, bertindak atas laporan itu polis menahan suspek di rumahnya dan direman empat hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut.

Tambah beliau, siasatan awal suspek tidak bekerja dan pasangan itu sudah mendirikan rumah tangga sejak lapan tahun lalu.

Katanya, hasil ujian saringan urin ke atas suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 326A kanun sama dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber : UM

Share.

Leave A Reply