Buat Laporan Polis Palsu Sebab Takut Kantoi Dengan Isteri.

| December 9, 2020 | 0 Comments

Buat Laporan Polis Palsu Sebab Takut Kantoi Dengan Isteri. | Kulim: Seorang lelaki sanggup membuat laporan palsu kononnya disamun tiga lelaki tidak dikenali di jalan kelapa sawit Kampung Ekor Kucing, Padang Serai di sini kerana bimbang dimarahi isterinya kerana wang gajinya habis dipercayai membeli dadah.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, lelaki berusia 30 tahun itu datang ke Balai Polis Padang Serai pada 8 malam, 2 Disember lalu untuk membuat laporan konon disamun.

Menurutnya, lelaki itu mendakwa disamun ketika sedang menunggang motosikal seorang diri melalui lokasi kejadian dan menipu kononnya individu itu bersembunyi dalam semak dan terus menahannya sambil mengacu parang di leher.

“Lelaki itu mendakwa individu berkenaan menumbuk perutnya dan mengambil wang tunai RM900 sebelum membuang dompetnya dan melarikan diri ke arah kebun kelapa sawit berhampiran.

“Berikutan itu lelaki terbabit membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata, lelaki itu kemudian dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk merakam percakapan berkaitan kes berkenaan.

Beliau berkata, pegawai penyiasat pergi ke tempat kejadian untuk melihat keadaan di tempat kejadian bagi mendapatkan bukti dan saksi kejadian seperti yang dilaporkan pengadu.

“Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati maklumat yang diberikan tidak konsisten dan terdapat keraguan dalam keterangan yang diberikan.

“Lelaki itu mengaku memberi maklumat palsu kepada pegawai penyiasat sehingga satu kertas siasatan kes samun dibuka,” katanya.

Menurut Azhar, lelaki itu mengaku membuat laporan palsu dengan alasan bimbang sekiranya isteri bising disebabkan wang gajinya tidak mencukupi dan tidak dapat membeli keperluan anak.

“Lelaki itu memberi alasan kepada isterinya gajinya dipotong majikan dengan alasan kad masuk kerja rosak.

“Berikutan itu pengadu terpaksa membuat laporan palsu untuk mengelak dimarah isterinya,” katanya.

Azhar berkata, berikutan itu satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan selepas dibenarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam yang boleh mendatang bencana kepada pihak lain.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

“Siasatan mendapati suspek dikatakan membuat laporan palsu untuk mengelak ahli keluarga mengetahui duit gajinya sudah digunakan untuk membayar hutang dadah dan membeli keperluan dadah.

“Hasil semakan mendapati, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini,” katanya.

Azhar menggesa orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu kerana pihaknya terpaksa mengambil masa bagi menyiasat kes yang tidak wujud.

Sumber : Metro

Tags: , , , , , , , ,

Category: INFORMASI, JENAYAH, KELUARGA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *