Cabutan Judi 22 Kali. Ini Jawapan Timbalan Menteri. | KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membuat pengumuman berhubung kebenaran diberikan kepada syarikat perjudian untuk melakukan 22 kali cabutan khas sepanjang tahun ini dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah, berkata kerajaan mengambil maklum semua cadangan Ahli Parlimen berhubung isu berkenaan dan akan membuat penelitian mengenainya.

Beliau berkata, walaupun 22 cabutan diluluskan kepada syarikat perjudian, tidak semuanya dilaksanakan setakat ini.

“Setakat hari ini, hanya lapan saja (cabutan) yang berjaya dilaksanakan, tujuh terpaksa dibatalkan dan bakinya itulah yang akan dinyatakan dalam tempoh terdekat,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Maszlee Malek (PH-Simpang Renggam) sama ada kerajaan akan kembali mengehadkan jumlah cabutan yang dibenarkan kepada syarikat perjudian kepada lapan kali saja, berbanding 22 kali ketika ini.

Kementerian Kewangan sebelum ini mengesahkan memberi izin kepada semua syarikat perjudian untuk melakukan 22 kali cabutan khas sepanjang tahun ini.

Sebelum ini, cabutan khas berkenaan diadakan 22 kali setahun namun dikurangkan kepada 11 kali pada tahun 2019 dengan dan hanya lapan kali cabutan pada tahun 2020.

Mengenai penambahan cabutan itu akan menambah hasil negara, Mohd Shahar berkata, ia tidak begitu tepat kerana ada banyak lagi sumber yang mendatangkan hasil kepada negara.

“Kita ada banyak lagi hasil negara kerana ada tiga kelompok besar iaitu hasil cukai, hasil bukan cukai dan perkara tidak membabitkan cukai,” katanya.

Sumber : BH

Share.

Leave A Reply