Calon Peperiksaan 2021 Diberi Keutamaan Suntikan Vaksin.

| June 17, 2021 | 0 Comments

Calon Peperiksaan 2021 Diberi Keutamaan Suntikan Vaksin. | PUTRAJAYA: Pelajar kelas peperiksaan khususnya yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 akan diberi keutamaan bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Berita itu dikongsi Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi hantaran di Facebook yang memaklumkan, cadangan tersebut dipersetujui Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) yang dipengerusikan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

“Alhamdulillah, cadangan Kementerian Pendidikan agar pelajar kelas peperiksaan diberi keutamaan untuk divaksin telah dipersetujui CITF.

“Ini adalah susulan kelulusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak 12 tahun ke atas di negara ini,” katanya.

Sebelum ini, Khairy pada sesi webinar anjuran Oxford and Cambridge Society of Malaysia memaklumkan, CITF akan memberi keutamaan vaksin kepada kumpulan pelajar itu terlebih dahulu.

Selain itu Khairy juga menjelaskan, keutamaan vaksin turut diberikan kepada kira-kira 350,000 pelajar dan 47,000 guru yang terbabit kelas peperiksaan itu.

“Cadangan vaksinasi kepada pelajar kelas peperiksaan itu masuk akal kerana mereka boleh kembali ke sekolah secara berperingkat untuk persediaan menghadapi peperiksaan.

“Kami akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk fokus kepada kelas peperiksaan terlebih dahulu termasuk guru, kakitangan sokongan dan pelajar terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, Radzi berkata, setakat ini, lebih 90,000 orang guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

Sumber : FB DR. RADZI JIDIN

Tags: , , , , , , , ,

Category: INFORMASI, KESIHATAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *