Dibekalkan Makanan Daging Babi. Ini Penjelasan Polis. | Ipoh: Polis belum menerima laporan berhubung dakwaan individu menerima hidangan mengandungi daging babi ketika menjalani kuarantin Covid-19 di sebuah hotel, di sini, seperti tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya sedia maklum dengan perkara yang ditularkan itu dan bertindak menjalankan siasatan.
“Hasil siasatan mendapati berlaku kekeliruan dan salah faham, ia menjadi punca apabila pengadu seorang ‘vegetarian’ dibekalkan makanan (mengandungi daging babi) berkenaan.
“Atas dasar prihatin kerana ditakuti diterima individu Islam, pihak hotel melantik dua katerer berasingan untuk makanan orang Islam dan bukan Islam serta meja untuk meletakkan makanan juga diasingkan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Katanya, berikutan itu pihaknya menasihati semua pihak supaya bertenang kerana isu yang timbul berkenaan disebabkan salah faham.
Terdahulu, tular di media sosial seorang individu yang menjalani kuarantin mendakwa mendapat hidangan mempunyai daging babi walaupun kakitangan hotel sedia maklum sejak dari awal dirinya sebagai ‘vegan’ selain tidak makan hidangan babi atas sebab keagamaan.
Individu terbabit turut kesal dengan situasi itu kerana sudah membelanjakan lebih RM1,000 untuk menjalani tempoh kuarantin di hotel berkenaan.
Sumber : Metro