Didakwa Tunggu Arahan NADMA. Ini Jawapan Panglima Angkatan Tentera. | SHAH ALAM: Arahan pergerakan menyelamatkan mangsa banjir dikeluarkan oleh kerajaan dua bulan lalu dan sejak itu anggota tentera sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Panglima Angkatan Tentera, Affendi Buang berkata, tidak timbul isu untuk anggotanya menyelamat dan memindahkan mangsa tanpa kelulusan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) seperti yang didakwa baru-baru ini.
“Operasi banjir ini kita akan letakkan semua dalam keadaan siap sedia. Kalau air naik maknanya arahan daripada atas daripada dua bulan lepas,” katanya pada sidang media Ops Banjir di Taman Sri Muda.
Jelasnya, dalam keadaan terdesak apabila kawasan tertentu dinaiki air, anggota tentera dan asetnya tidak perlu menunggu pihak lain untuk menyelamatkan nyawa mangsa banjir.
“Kalau air naik, saya nak tunggu siapa lagi? Saya ada orang di sana, aset saya gerakkan nak tunggu apa lagi,” katanya ketika menjelaskan dakwaan ada anggota tentera yang membantu memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan tanpa menunggu arahan daripada NADMA.
Menerusi sidang medianya beliau sekali lagi mengulangi bahawa sekarang bukan masa untuk mana-mana pihak menuding jari sehingga mengganggu dan menjejaskan usaha menyelamat serta memindahkan mangsa banjir.
“Sekarang bukan masa untuk mana-mana-mana pihak meletakkan kesalahan sehingga boleh ganggu dan menjejaskan sebarang usaha menyelamat serta memindahkan mereka yang terkesan akibat bencana ini, sebarang kekuatan dalam aspek banjir ini adalah tugas bersama,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pada malam kejadian banjir, khususnya di Selangor pihak tentera serta beberapa agensi keselamatan lain termasuk bomba telah segera turun ke lapangan dan tidak timbul soal ada pihak tidak buat kerja.
Katanya, semasa malam kejadian hari pertama banjir di Selangor khususnya di Shah Alam air naik begitu mendadak dan pihak berkuasa termasuk bomba berhempas pulas menyelamatkan mangsa dalam keadaan hujan lebat.
Dalam pada itu, Affendi menegaskan dalam menangani krisis seumpama ini, tentera lebih melihat kepada kesepaduan antara agensi dengan meletakkan kepentingan keselamatan mangsa sebagai keutamaan yang perlu didahulukan.
“Kita tidak boleh lagi bekerja secara bersendirian atau ‘solo’. Sebarang usaha yang dilaksanakan adalah lebih berkesan sekiranya dilaksana dengan berkonsepkan ‘whole of government approach’ bagi memastikan setiap agensi terbabit dapat digembleng secara bersama dan berkesan,” katanya.
Tentera tumpu tiga negeri teruk terjejas
Dalam sidang media sama Affendi berkata, tentera akan memberi tumpuan bantuan kepada tiga negeri yang teruk terjejas akibat banjir membabitkan Pahang, Selangor dan Kelantan dengan jumlah mangsa melebihi 1,000 orang.
Katanya, di Pahang setakat ini seramai 38,399 mangsa banjir direkodkan melibatkan sembilan kawasan, iaitu Maran, Kuantan, Raub, Kuala Lipis, Jerantut, Temerloh, Pekan, Bentong dan Bera.
“Bagi Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka buat masa ini menunjukkan keadaan yang masih terkawal. Bagaimanapun pasukan tentera sentiasa bersedia dengan kekuatan satu kompeni, iaitu lima pegawai dan 97 anggota yang diletakkan dalam keadaan siap siaga di setiap negeri bagi diatur gerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan tambahan,” katanya.
Sumber : FMT