DS Sulaiman Selesai Angkat Sumpah KM Melaka Pukul 12.58 Malam. | MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali selesai mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 pada pukul 12.58 tengah malam tadi.
Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan itu dilakukan di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam selepas Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti besar 21 kerusi.
Hadir sama isteri Mohd. Ali, Toh Puan Asmah Abd. Rahman.
Turut hadir menyaksikan acara angkat sumpah itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sulaiman, 55, sebelum ini dinamakan sebagai calon Ketua Menteri BN jika parti itu menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ini merupakan kali kedua beliau dilantik selepas pertama kali pada Mac 2020.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Barisan Nasional (BN) memenangi 15 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada jam 9.42 malam tadi.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, jumlah yang diperoleh setakat jam 9.42 malam itu menandakan BN memiliki majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Melaka yang baharu.
“Bagi keseluruhan pengundian sehingga jam 9.42 malam, BN memenangi sejumlah 15 daripada 28 kerusi yang diperuntukkan dan dengan ini berjaya memperoleh suatu majoriti melebihi 50 peratus daripada jumlah kerusi dipertandingkan,” katanya dalam sidang media ringkas di Ayer Keroh dekat sini, malam ini.
Sementara itu, keputusan tidak rasmi setakat ini menunjukkan BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN yang ditandingi manakala Perikatan Nasional (PN) dua kerusi dan Pakatan Harapan (PH) lima kerusi.
Sumber : UM