Guru Ditemui Meninggal Dunia Atas Sofa Rumah Miliknya. | Alor Gajah: Penantian 20 pelajar tingkatan lima sebuah sekolah di sini, untuk menjawab soalan Matematik dalam talian tidak menjadi kenyataan selepas guru lelaki yang menyediakan soalan itu ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Ilmu Lendu, hari ini.
Pelajar berkenaan dijadualkan menduduki peperiksaan penggal pada jam 10 pagi ini tetapi guru berkenaan tidak memuatnaik soalan, menyebabkan mereka menghubungi guru lain.
Sumber berkata, beberapa guru cuba menghubungi telefon bimbit guru berusia 57 tahun itu tetapi tidak dijawab, sebelum beberapa guru rapat dengannya ke kediamannya di sebuah kampung di Lendu, di sini.
Bagaimanapun, isterinya memaklumkan suaminya keluar rumah sejak petang semalam ke sebuah lagi rumah mereka di Taman Lendu Ilmu, berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah.
Sumber itu berkata, berikutan itu, kumpulan guru terbabit yang mengesyaki sesuatu bergegas ke rumah berkenaan pada 12.30 tengah hari dan mendapati kereta guru itu berada di garaj dan pintu pagar berkunci.
“Mereka memanjat pagar sebelum memanggil arwah tetapi tiada jawapan dan mereka mendapati pintu gelongsor tidak berkunci dari dalam manakala jeriji pintu berkunci.
“Sebaik sahaja pintu gelongsor dibuka, mereka amat terkejut apabila melihat arwah kaku di atas sofa di ruang tamu sebelum menghubungi polis dan bomba,” katanya.
Difahamkan, arwah sudah mengajar selama 15 tahun di sekolah berkenaan dan meninggalkan seorang isteri serta seorang anak lelaki dan perempuan.
Difahamkan juga, isteri arwah memaklumkan, arwah suaminya sering menyelesaikan kerja berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di rumah taman berkenaan.
“Isteri arwah memaklumkan lazimnya arwah suaminya pulang pada sebelah malam selepas menyelesaikan kerja tetapi malam tadi arwah tidak balik dan usaha menghubungi telefon bimbitnya tidak berhasil,” kata sumber itu.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Penolong Penguasa Bomba, Soon We Kiang berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah yang menerima panggilan pada jam 12.40 tengah hari dan enam anggota dihantar ke rumah berkenaan.
“Anggota bomba terpaksa memecahkan kunci jeriji sebelum menemukan seorang lelaki yang sudah meninggal dunia dalam keadaan duduk di atas sofa di ruang tamu,” katanya.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, anggota polis menunggu Pembantu Perubatan Hospital Alor Gajah yang lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) memeriksa mayat mangsa sebelum membawanya ke hospital berkenaan.
“Kami masih menunggu laporan bedah siasat dan keputusan ujian calit jenazah berkenaan yang dijangka diperoleh esok,” katanya.
Setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan beliau meminta orang ramai tidak membuat spekulasi punca kematian mangsa.
Sumber : Metro