Ini Luahan Anak DS Najib Razak Yang Buat Ramai SEBAK.
“Saya kenal ayah saya. Bossku tidak akan mengalah.”
Kuala Lumpur: Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohd Nazifuddin Najib menyuarakan rasa sedih atas keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang memutuskan Titah Adendum ke atas bapanya tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi maksud menjalani tahanan rumah di negara ini.
Lebih menyedihkan kata beliau, keputusan itu bukan semata-mata kerana membabitkan bapanya, sebaliknya makna di sebalik keputusan itu yang secara langsung turut menyentuh titah Yang di-Pertuan Agong.
“Saya kenal ayah saya. Bossku tidak akan mengalah. Beliau akan terus berjuang. Namun sebagai seorang anak, dengan setiap halangan dan ujian yang berpanjangan ini, saya tidak dapat menahan persoalan, bilakah semua ini akan berakhir?
KEPUTUSAN AMAT MENYEDIHKAN
“Bilakah ia dianggap cukup bagi mereka? Keputusan semalam amat menyedihkan buat saya, bukan semata-mata kerana ayah saya, tetapi kerana makna di sebalik keputusan itu. Selama puluhan tahun, UMNO memperjuangkan prinsip tertinggi, menjunjung kedaulatan Raja-Raja Melayu dan mematuhi setiap titah serta perkenan Agong.
“Namun dalam sekelip mata, semalam, maruah dan kedudukan institusi itu seolah-olah runtuh. Keputusan itu membawa maksud bahawa apa-apa titah atau dokumen diraja tidak mempunyai nilai tanpa melalui proses kerajaan,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Ini sekali gus katanya, memberi implikasi besar serta mendalam terhadap sistem yang selama ini dijunjung.
“Jika ini pendirian kerajaan, mengapa perkara ini tidak dinyatakan dari awal? Mengapa kami perlu berulang-alik ke mahkamah selama ini, memperjuangkan kewujudan satu addendum yang kini dikatakan tidak sah kerana isu proses? Saya secara peribadi percaya addendum itu adalah sah.
“Selama ini, kefahaman saya dan kefahaman ramai ialah Lembaga Pengampunan hanyalah bersifat nasihat, sementara kuasa sebenar terletak pada Agong,” katanya.
Namun dengan keputusan mahkamah semalam, beliau mendakwa mesej yang diterima amat jelas bahawa kuasa itu kini terletak pada kerajaan dan tanpa proses kerajaan, dokumen diraja tidak membawa sebarang nilai.
“Jika begitu, bagaimana pula dengan kes-kes terdahulu yang juga mempunyai isu proses? Bagaimana seseorang boleh menjadi Perdana Menteri tanpa Lembaga Pengampunan yang lengkap dan ketika Peguam Negara berada dalam cuti khas?
“Di manakah konsistensi? atau adakah semuanya ini sekadar satu pembohongan besar kepada rakyat? Kepada mereka yang meraikan, hakikat bahawa Najib masih berada di Kajang. Ingatlah, ini bukan hari pertama beliau di sana. Ia sudah memasuki tahun keempat,” katanya.
Beliau berkata, lebih menyedihkan, bagi satu jenayah yang dilakukan oleh ahli perniagaan, Jho Low yang didakwa dalang utama dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kerajaan dakwanya tidak lagi menunjukkan kesungguhan untuk memburunya.
Sumber : HM




