Ini Luahan SAYU 2 Orang Anak Najib Razak. | | KUALA LUMPUR: Suasana sedih menyelubungi perjumpaan khas UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini, apabila mendengar luahan hati dua anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ribuan yang hadir tersentuh dengan luahan itu, malah ada yang turut mengalirkan air mata mendengar ucapan dua anak Najib iaitu Datuk Mohd Nizar dan Nooryana Najwa.
Sambil menitiskan air mata, Nooryana berkata, beliau sudah menanam janji untuk terus memperjuangkan keadilan buat bapanya selain meneruskan perjuangan Najib dalam parti.
“Selasa, 23 Ogos adalah hari yang paling sukar untuk kami dan memori terakhir bersama daddy (bapa) ketika dikelilingi pegawai polis hanyalah sehelai tie. Daddy sempat berbisik tolong simpan tie ini kerana tie ini kegemaran daddy.
“Sejak kecil, saya sentiasa menantikan daddy ikat tie dengan sempurna tanpa perlu melihat cermin.
“Saya pernah tanya kenapa daddy tak kerja biasa seperti orang lain dan daddy menjawab, kalau kerja biasa seperti orang lain hanya boleh bantu beberapa orang saja tapi sebagai ahli politik, daddy boleh bantu dan mengubah kehidupan jutaan rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap, hari ini.
Berkongsi lanjut memori bersama bapanya, Nooryana Najwa berkata, rakyat adalah umpama anak buat bapanya sehingga sanggup berkorban masa dan tenaga selama lebih 46 tahun demi keselesaan dan kesenangan yang dikecapi rakyat ketika ini.
Katanya, setiap masa bapanya menghabiskan masa untuk memikirkan bagaimana untuk membantu rakyat dan berusaha mengubah kehidupan rakyat.
“Tapi lepas 2018, daddy terpaksa bahagi masa pagi ke petang di mahkamah, pada waktu malam jalankan tugas parti dan rakyat. Ini kerana daddy menyayangi setiap rakyat umpama anak-anak sendiri, kadang kala kami rasa daddy lebih sayangkan rakyat daripada kami.
“Alhamdulillah, hasil kerja keras daddy, BN (Barisan Nasional), UMNO kembali diterima rakyat tapi malangnya hari ini, daddy bersendirian.
“You alone (kamu sendirian), daddy sudah berusia hampir 70 tahu tidak patut meneruskan kehidupan seperti ini. Suasana di rumah tidak sama tanpa daddy, kerusi kegemaran kosong dan Kiky (kucing peliharaan Najib) pun menunggu daddy,” luahnya.
Sementara itu, Mohd Nizar, yang juga Ketua Pemuda UMNO Pekan berkata, Najib bukan hanya seorang bapa kepada keluarganya tapi juga figura rakyat Malaysia.
Beliau berkata, bapanya menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas dan banyak membantu rakyat sejak mula menyertai politik 46 tahun lalu, terutama di Parlimen Pekan.
“Begitu banyak jasa beliau kepada kerajaan, tidak menyangka nasib begini menimpa beliau.
“Suasana amat sedih, pilu dan hiba, terutama Parlimen Pekan. Bayangkan seorang pemimpin Ahli Parlimen yang berkhidmat 46 tahun tiba-tiba tiada di kawasan, menangis tidak henti rindu ayahanda, tidak kurang juga majlis program dibatalkan kerana Pekan masih berduka,” katanya.
Sumber : BH