Ini Punca Remaja Berusia 15 Tahun Tikam Bayi Baru Lahir. | KEMAMAN – Seorang bayi lelaki baru lahir mati dalam keadaan menyayat hati selepas dipercayai ditikam ibu kandungnya yang berusia 15 tahun di sebuah rumah daerah ini semalam.

Mayat mangsa dijumpai de­ngan kesan tikaman di dada kiri pada pukul 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati remaja perempuan yang sudah tidak ke sekolah sejak beberapa tahun lalu itu dipercayai berada seorang diri di rumahnya ketika melahirkan bayi malang tersebut.

“Remaja tersebut kemudian meminta pertolongan seorang rakan untuk memaklumkan kelahiran bayinya kepada kakitangan sebuah klinik kesihatan berhampiran.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pegawai kesihatan mendapati bayi itu sudah tidak bernyawa.

“Terdapat kesan luka pada dada dipercayai ditikam dengan objek tajam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.

Remaja itu dipercayai bertindak demikian kerana panik.

Hanyan memberitahu, pi­haknya bergegas ke lokasi dan menahan remaja perempuan tersebut bagi membantu siasatan.

Mayat bayi tersebut dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk dibedah siasat.

“Kita juga telah mengenal pasti lelaki yang dipercayai bertanggungjawab menghamilkan remaja perempuan tersebut dan gerakan memburunya sedang giat dijalankan,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376 akta sama.

Sementara itu, ahli keluarga remaja tersebut yang enggan dikenali berkata, suspek yang merupakan anak tunggal me­netap berdua dengan ibunya yang juga ibu tunggal.

Sewaktu kejadian, ibu remaja itu bekerja di sebuah hotel di daerah ini.

“Kami tidak menyangka dia mengandung kerana bentuk fi­zikalnya besar,” katanya.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply