Ini Punca Satu Keluarga Shuib Dijangkiti Covid-19.

| August 9, 2021 | 0 Comments

Ini Punca Satu Keluarga Shuib Dijangkiti Covid-19 | Pelawak Shuib mendedahkan punca sebenar bagaimana satu keluarganya dijangkiti Covid-19 sehingga menyebabkan isterinya, Siti Sarah Raisuddin meninggal dunia awal pagi semalam.

Cerita Shuib, dia sekeluarga disahkan positif selepas pembantu rumahnya yang turun membuang sampah bersalaman dengan rakannya sebelum kemudian merebak kepada semua yang berada di dalam rumahnya, kecuali seorang anggota keluarganya disahkan negatif.

Akibatnya, Shuib, Sarah dan tiga anak mereka dijangkiti virus berkenaan sebelum pembantu rumah warga Indonesia itu meninggal dunia Jumaat lepas.

“Nak dijadikan cerita, pembantu rumah saya turun bawah buang sampah. Dia salam kawan, terus kena kami satu keluarga. Jangan lupa berdoa, moga Allah lindungi kita sebab itulah senjata paling dahsyat,” katanya.

Tambah Shuib lagi, mereka pernah bergaduh gara-gara isterinya itu takut dijangkiti Covid-19 selepas dia keluar bertemu seorang rakannya atas urusan bisnes sebelum ini.

Susulan pemergian isteri tercintanya, Shuib menekankan kepada orang ramai agar mengambil langkah perlindungan diri dengan suntikan vaksin.

Shuib yang muncul dalam sesi siaran langsung (Live) petang tadi berkata, apa yang berlaku kepada Siti Sarah membuatkan hatinya tersentak kerana isterinya itu belum menerima suntikan vaksin.

Disebabkan itu, doktor yang merawat memaklumkan bahawa keadaan isterinya sangat teruk apabila paru-parunya hampir semua dijangkiti virus Covid-19.

“Paru-parunya hampir dijangkiti pada semua bahagian. Sampaikan paru-parunya tak boleh bekerja untuk pam oksigen, sekali gus menyebabkan semua organ gagal berfungsi dengan baik.

“Kemungkinan sebab vaksin, sebab dia belum ambil suntikan, wallahualam. Tadi di hospital, ada seorang jururawat minta saya kongsikan tentang perkara ini. Sekurang-kurangnya dengan vaksin, mungkin dapat bantu,” katanya.

Tambah pemilik nama sebenar Shahmira Muhamad itu lagi, dia pada awalnya sangat yakin Siti Sarah berada dalam keadaan sihat meskipun sedang dirawat di hospital.

Bagaimanapun, apa yang sering didengarnya daripada doktor adalah paru-paru Siti Sarah sudah dipenuhi dengan virus Covid-19 sehingga menyebabkan organ tersebut tidak boleh berfungsi.

Disebabkan itu, Shuib mengingatkan semua orang agar menjaga kesihatan dan mengambil vitamin C serta tidak mengamalkan sikap sayangkan duit jika melibatkan hal kesihatan.

“Saya ingat lagi, ketika dalam ambulans sewaktu nak bawa isteri ke hospital swasta, tetapi semuanya penuh. Sedangkan keadaannya sudah teruk pada waktu itu.

“Dalam hati saya terfikir, duit banyak mana sekali pun takkan boleh kembali sihatkan isteri saya. Dengarlah cakap saya. Jaga kesihatan, sebab saya dulu sejenis yang tidak menjaga sangat bab-bab itu. Sekarang saya sudah amalkan makan vitamin C dengan banyak,” katanya lagi.

Pada masa sama, Shuib menyarankan agar semua orang menyediakan alat bacaan tahap oksigen, Oximeter di rumah untuk membuat pemeriksaan paras oksigen sendiri.

“Dahulu, tahap oksigen dia turun ke 93, kadang-kadang 94, tapi saya cakap okey kepada dia. Bila lambat bawa dia ke hospital, akibatnya saya kehilangan dia hari ini.

“Beli alat itu. Kalau bacaan oksigen turun, terus pergi hospital. Dulu saya pun orang yang tak berapa percaya kepada Covid-19, tapi bila dah kena pada batang hidung sendiri, barulah tahu,” katanya.

Siti Sarah, 37, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.13 pagi tadi (Isnin) di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) selepas tiga hari ditidurkan akibat jangkitan Covid-19.

Sumber : Kosmo

Tags: , , , , , , , ,

Category: INFORMASI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *