Inkues Zara Qairina. Saksi Ke-18 Dengar Zara Menjerit Malam Kejadian.
“Zara menjerit sambil bercakap; “Aku nda curi bah, sial.”
Kuala Lumpur: “Aku nda curi bah.” Demikian jeritan Allahyarham Zara Qairina Mahathir selepas dipanggil pelajar senior pada 15 Julai lalu, menurut keterangan rakan sebilik kepada Zara yang juga saksi kanak-kanak ke-18.
Keterangan itu diberikan saksi pada hari ke-26 prosiding inkues kematian Zara Qairina di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, hari ini.
“Zara ada balik dari bilik dorm sebelah sekitar jam 11 malam. Saksi nampak Zara terus baring di lantai sambil menangis di depan almari dia.
“Zara menjerit sambil bercakap; “Aku nda curi bah, sial.” Sebelum saksi tidur, dia masih melihat Zara di lantai.
“Semua penghuni dalam bilik itu dengar Zara berkata demikian. Tidak ada penghuni yang cuba menenangkan atau memujuk semasa Zara menangis di bilik,”. Kata saksi itu seperti yang dilaporkan dalam kenyataan media pasukan peguam mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina selepas prosiding inkues selesai petang ini.
KALI PERTAMA LIHAT ZARA MENANGIS
Menurut peguam, saksi berkata, itu kali pertama dia melihat Zara menangis dan menjerit di dalam bilik asrama.
Saksi turut memberitahu mahkamah bahawa sebelum dipanggil pelajar senior, Zara sedang menulis sesuatu di depan lokernya.
Ia berkata, malam 15 Julai itu adalah kali pertama Zara dipanggil oleh pelajar senior.
Saksi juga mengesahkan dia dan beberapa rakan sebilik sebelum itu membuat spot check atau pemeriksaan ke atas loker, beg dan seluar Zara selepas seorang daripada mereka mengadu kehilangan dompet.
Selain dirinya, ada tiga lagi penghuni dorm sama turut terbabit dalam pemeriksaan berkenaan selepas mendapat kebenaran senior.
“Saksi hanya periksa loker, tetapi mereka yang lain memeriksa beg dan seluar Zara. Namun saksi berkata mereka tidak jumpa sebarang barang yang hilang.
“Saksi berkata, rakan lain itu menjumpai jumpa dua pin bendera Malaysia dalam beg dan seluar trek Zara,” katanya.
Saksi itu berkata, pelajar yang menemui pin itu juga orang sama yang sebelum ini mendakwa sekeping kad panggilan milik pelajar junior lain pernah ditemui di tempat Zara.
TIDAK TAHU APA YANG TERJADI
Peguam berkata, saksi bagaimanapun tidak tahu apa yang berlaku di dorm sebelah ketika Zara dipanggil pelajar senior malam itu.
Selain itu, saksi turut memberitahu mahkamah bahawa dia mengetahui mengenai amalan atau aktiviti dikenali sebagai ‘barcode’ yang membabitkan pelajar sejak awal tahun ini.
“Saksi berkata dia ternampak kesan parut di tangan beberapa orang pelajar semasa waktu persekolahan. Apabila saksi bertanya kepada pelajar berkenaan mengenai kesan parut di lengan. Pelajar berkenaan mengatakan; ‘Cuma barcode ba ja ni’,” katanya.
Saksi juga memberitahu pernah menyaksikan sesi Mesyuarat Aras (MA) sebanyak tiga atau empat kali pada awal tahun ini yang dijalankan oleh pelajar senior terhadap pelajar junior tanpa kehadiran guru atau warden.
“Biasanya semasa MA, pelajar senior akan memarahi pelajar junior dengan menggunakan perkataan kesat. Saksi sendiri tidak pernah dipanggil senior secara bersendirian,” katanya.
Saksi berkata, Zara lebih suka meluahkan perasaannya melalui diari dan dia sendiri tidak pernah memegang atau membaca diari itu. Namun tahu Zara sering menulis setiap kali ada masa lapang, sama ada pada waktu siang atau malam.
Saksi juga tidak tahu di mana Zara menyimpan diarinya.
Pada prosiding inkues itu, Noraidah diwakili pasukan peguam terdiri daripada Shahlan Jufri; Rizwandean M Borhan; Mohd Syarulnizam Mohd Salleh; Mohd Luqman Syazwan Zabidi; Farrah Nasser dan Elhanan James.
Sumber : HM




