Jadikan Sekolah Selamat Untuk Murid. Ini Permintaan KJ Buat Semua Guru. | PUTRAJAYA: Guru yang enggan mendapatkan vaksin Covid-19 ataupun antivaksin akan diminta menghadap Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Perkara itu disuarakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang mahu 100 peratus guru di Malaysia menerima suntikan vaksin bagi memastikan sekolah selamat bagi semua murid.
Katanya, Malaysia mempunyai seramai 412,000 guru dengan 96.5 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 manakala 83.5 peratus pula, sudah lengkap vaksinasi.
“Bagi kakitangan sokongan pula, sebanyak 84.8 peratus telah menerima satu dos vaksin manakala 68.8 peratus pula, sudah lengkap dua dos vaksin.
“Kita mahu menjadikan sekolah tempat yang paling selamat untuk semua murid kerana golongan ini, belum menerima vaksin maka, saya berharap 100 peratus guru akan lengkap dua dos tetapi sekiranya ada guru yang antivaksin, mereka akan diminta menghadap TMJ,” katanya dalam sidang akhbar pertamanya di Ibu pejabat Kementerian Kesihatan di sini hari ini.
Bulan lalu, Tunku Ismail bertitah seramai 396 guru daripada keseluruhan 779 guru yang menolak untuk mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19 di negeri ini menggunakan alasan ragu-ragu dengan vaksin berkenaan manakala selebihnya dikatakan menolak berikutan keadaan kesihatan tidak mengizinkan.
Terdahulu, Tunku Ismail bertitah agar kesemua 779 guru-guru di Johor yang dilaporkan menolak untuk menerima suntikan vaksin menghadap baginda selepas perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang.
SUmber : UM