Jangan Guna ‘Agama’ Untuk Lariskan Produk! Penjualan produk didakwa sebagai ‘makanan sunah dan penawar’ kerana diiringi bacaan doa dan zikir ketika proses pembuatannya sebelum dijual pada harga tidak masuk akal, masih berleluasa di negara kita. Baca seterusnya.

KUALA LUMPUR: Penjualan produk didakwa sebagai ‘makanan sunah dan penawar’ kerana diiringi bacaan doa dan zikir ketika proses pembuatannya sebelum dijual pada harga tidak masuk akal, masih berleluasa di negara ini walaupun ia jelas bertentangan dengan keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan.

Produk yang didakwa sebagai keluaran Muslim itu, dijual pada harga sehingga RM500 bergantung berat dan pakej beberapa jenis barangan tertentu, dipromosikan menerusi media sosial, aplikasi sembang serta e-dagang secara meluas dalam usaha menarik perhatian pembeli.

Selain dijual secara dalam talian, produk makanan sunah dan penawar ini juga dipromosikan pihak tertentu menerusi pengumuman yang dibuat sebagai selingan ketika program ceramah agama di masjid dan surau.

Ia bukan sahaja membabitkan pelbagai produk makanan dan minuman, kosmetik dan kesihatan tradisional, malah ada juga produk sedemikian didakwa menyembuhkan atau menghalang gangguan jin dan syaitan.

Penjualan produk seumpama itu kini banyak dilakukan pihak tertentu, yang berselindung di sebalik pusat pengajian agama dan penjagaan anak yatim serta asnaf dengan promosi jualan atas nama kebajikan, selain didakwa mendapat manfaat daripada doa yang dibacakan.

Berdasarkan fatwa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2015, tiada sebarang produk sama ada makanan atau bukan makanan yang dijual di pasaran boleh dilabel sebagai ‘makanan penawar’ atau dibacakan doa dan zikir kerana ia menyalahi peraturan, termasuk produk yang dilabel sebagai makanan sunah dan dipromosi sebagai makanan terbaik serta memiliki khasiat luar biasa.

Berdasarkan fatwa itu, muzakarah memutuskan penjualan sebarang jenis produk menggunakan ayat ruqyah (ayat al-Quran) untuk tujuan komersial tidak dibenarkan sama ada untuk tujuan pelabelan, pengiklanan dan promosi.

Ini kerana, muzakarah mendapati isu produk dilabelkan sebagai ‘makanan sunah’ dan makanan atau minuman yang diruqyah dengan ayat al-Quran serta zikir semakin berleluasa dan menjadi pelan pemasaran pengusaha produk makanan dan barangan di negara ini.

Muzakarah bersetuju memutuskan penggunaan ruqyah dan istilah ‘makanan sunah’ secara tidak bertanggungjawab untuk tujuan mengaut keuntungan dan melariskan produk itu perlu dihentikan.

Ini kerana dibimbangi ia termasuk dalam perbuatan memperdagangkan ayat-ayat al-Quran, suatu perbuatan yang ditegah ajaran Islam.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataan kepada BH, memaklumkan akan bertindak tegas terhadap pengusaha atau peniaga yang didapati memasarkan produk sedemikian.

Ini termasuk penggunaan label makanan sunah, makanan penawar, dibacakan zikir, doa, ayat ruqyah atau apa-apa tulisan Jawi pada sesuatu produk makanan yang disyaki bertujuan menipu atau mengelirukan maksud halal.

“Perkara ini boleh disiasat mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

“Oleh yang demikian, syarikat dan pemohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) tidak dibenarkan menggunakan terma ayat ruqyah, makanan sunah dan seumpamanya pada pelabelan, pengiklanan dan promosi produk yang dipohon bagi pengesahan halal.

“Produk yang dilabelkan dengan terma sedemikian sering digunakan sesetengah pengusaha sebagai pelan pemasaran, namun ia dikhuatiri boleh mengundang penipuan ke atas pengguna yang percaya produk itu lebih berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, KPDNHEP juga memberi perhatian khusus berkaitan isu manipulasi perkataan halal seperti ungkapan Muslim friendly, shariah compliance, penggunaan ayat Al-Quran dan ungkapan lain-lain dan perbuatan.

Ia boleh menjadi suatu kesalahan mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Menurut kenyataan itu lagi, KPDNHEP melaksanakan empat pendekatan untuk mengatasi isu terbabit termasuk proaktif menjalankan pemeriksaan secara berkala ke atas premis perniagaan dan mengadakan operasi bersepadu bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

“Selain itu, KPDNHEP turut mengambil tindakan responsif dengan menjalankan penyiasatan ke atas aduan yang diterima berkaitan halal dan juga isu halal yang tular di media sosial.

“Tindakan punitif (hukuman) pula akan diambil ke atas peniaga yang didapati melakukan kesalahan di bawah perintah berkenaan seperti menyita barangan, mengenakan kompaun atau tindakan mahkamah,” katanya.

Untuk tindakan pencegahan, KPDNHEP akan membuat hebahan umum berkaitan logo halal yang sah melalui media sosial rasmi kementerian dan juga membuat publisiti media ke atas operasi yang dijalankan.

Sumber: BH

Share.

Leave A Reply