Jiran Kongsi detik Cemas Kes Wanita Dipenggal Kepala. | Kuala Selangor: “Saya terkejut melihat keadaan rumah arwah yang berlumuran darah namun tidak berani untuk masuk ke dalam.”

Begitu kata Ghazali Atan, 64, jiran kepada seorang wanita yang maut selepas kepalanya dipenggal anak kandung sendiri dalam kejadian di Kampung Baru Pasir Penambang, dekat sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian dia sedang menganyam daun nipah di rumahnya sebelum didatangi seorang wanita yang meminta pertolongan, kira-kira 5 petang.

“Wanita itu mengatakan ibunya ‘sudah keluar darah’. Saya bergegas ke rumah mereka untuk melihat apa yang terjadi.

“Tak sangka kejadian tragis itu berlaku kepada arwah. Kami berjiran hampir tiga bulan lalu dan jarak rumah hanya sekitar 40 meter sahaja.

“Arwah seorang peramah dan baik dengan ahli keluarganya. Malah, hubungan kami baik kerana saling mengenali sejak 20 tahun lalu,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Ghazali berkata, dia dimaklumkan hanya mangsa dan suspek berada di rumah berkenaan manakala suaminya tiada.

Terdahulu, media melaporkan mangsa berusia 56 tahun ditemukan di ruang tamu dan terdapat kesan darah dalam rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa dilaporkan berkata, suspek berusia 28 tahun yang juga seorang penganggur ditahan dengan bantuan penduduk kampung selepas bersembunyi dalam belukar berhampiran dengan rumahnya.

Katanya, polis turut merampas parang disyaki digunakan untuk memenggal kepala mangsa yang ditemui dalam tandas rumah itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Sumber : HM

Share.

Leave A Reply