Jumpa Bayi Baru Lahir Di Bawah Kolong Rumah.

| June 30, 2021 | 0 Comments

Jumpa Bayi Baru Lahir Di Bawah Kolong Rumah. | LAHAD DATU – Suara tangisan bayi dan salakan anjing yang didengar oleh seorang wanita berjaya menyelamatkan nyawa bayi lelaki yang ditemui di bawah kolong sebuah rumah di Kampung Dasar Baru pada malam Selasa.

Bayi yang masih mempunyai uri dipercayai baharu sahaja beberapa jam dilahirkan sebelum ditemui pada jam 7.30 malam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, pemilik rumah iaitu seorang wanita tempatan berusia 27 tahun menyatakan terdengar suara bayi dan anjing menyalak dari arah bawah kolong rumahnya.

“Wanita itu bersama suami dan abangnya bertindak memeriksa bawah rumah mereka sebelum menemui seorang bayi tertiarap di atas tanah berlumpur.

“Wanita itu bersama ahli keluarganya bertindak menghantar bayi berkenaan ke Jabatan Kecemasan Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, doktor menganggarkan bayi itu dilahirkan antara tiga hingga empat jam sebelum ditemui.

“Bayi itu juga dilahirkan dalam keadaan pramatang iaitu berada di dalam kandungan berusia 28 minggu atau tujuh bulan dengan anggaran berat satu kilogram.

“Setakat ini, bayi itu dalam keadaan tidak stabil dan terdapat kesan gigitan. Bayi itu dimasukkan ke wad unit rawatan rapi bayi untuk rawatan dan pemantauan lanjut,” katanya.

Rohan berkata, kejadian itu disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu ibu bapa atau penjaga yang bertanggungjawab terhadap kanak-kanak di bawah 12 tahun mendedahkan dan membuang bayi itu.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung bayi itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Aspalainah Mohd Zain di talian 0111-9019728 atau mana-mana balai berhampiran.

Sumber : SH

Tags: , , , , , , , ,

Category: INFORMASI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *