Kahwin Dengan Menteri. Ini Jawapan Erra Fazira Buat Ramai Terkejut. | KUALA LUMPUR: Pelakon, penyanyi dan pengacara popular, Erra Fazira, 47, sekali lagi berdepan gosip panas kononnya mendirikan rumah tangga dengan seorang VVIP berstatus Menteri.


Ironinya, gosip kahwin bukan perkara baharu dalam kanvas seni ibu kepada Engku Aleesya Engku Emran ini.

Memilih tidak memberikan kenyataan panjang lebar, Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek bagaimanapun meninggalkan kapsyen dalam Instagram (IG) seolah-olah menjawab gosip yang sedang bertiup kencang itu.

“Tidak kira sejauh mana rasa penat, hidup perlu diteruskan.

“Tak habis-habis cerita kahwin ini. Apa pun, orang suka bercakap, jadi biarlah mereka terus berkata-kata,” tulisnya.

Erra yang membolosi dalam kategori Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 34 menegaskan, dia masih berstatus ibu tunggal.

“Ya, apa yang pasti saya masih ibu tunggal. Jika tak faham juga, tidak tahulah nak cakap apa.

“Sudah-sudahlah mempermainkan cerita soal status. Saya bukan muda lagi nak bentangkan kisah kahwin dan cinta tidak kesampaian.

“Apa kata berikan perhatian gosip seumpama ini kepada artis berpangkat adik lain. Lebih manis dan orang tidak jelak.

“Untuk saya, andai ada jodoh pada hari mendatang, tolong doakan yang terbaik dan moga berkekalan hingga ke jannah,” katanya.

Terdahulu, bintang yang pernah mendapat jolokan Primadona Filem Melayu itu menjawab persoalan yang kini mencetuskan kekecohan yang didedahkan menerusi kolum Desas-Desus dalam B*POP, BH, semalam apabila didakwa berkahwin dengan VVIP yang dikenali ramai, baru-baru ini.

Tahun lalu, Erra terkejut menerima ucapan tahniah selepas hantaran yang dimuat naik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjadi tular.

Dr Zulkifli dalam hantaran yang dimuat naik dalam IG dan Facebook pada November 2020 mengucapkan tahniah kepada wanita bernama Erra Fazira dan suami atas pernikahan yang berlangsung di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Gara-gara hantaran itu, ramai peminat menyangka bintang filem Sembilu dan Maria Mariana itu menyembunyikan berita perkahwinannya. Namun, ramai lega selepas melihat gambar dikongsi Dr Zulkifli.

Bagaimanapun, Erra menganggap status yang dimuat naik Dr Zulkfili sebagai usikan dan tidak mengambil hati dengan gurauan berkenaan.

Terdahulu, Erra pernah dua kali mengalami kegagalan rumah tangga. Aktres itu mendirikan rumah tangga dengan komposer dan ahli kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim pada 2003, namun bercerai pada 2006.

Setahun kemudian, Erra berkahwin dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Engku Aleesya. Ikatan perkahwinan Erra dan Emran terlerai selepas tujuh tahun tahun mendirikan rumah tangga.

Sumber : BH

Share.

Leave A Reply