Kanak-Kanak Termakan Keropok Beracun Meninggal Dunia. | KHALIFAH MEDIA NETWORKS : Kulim: Kanak-kanak berusia tiga tahun yang makan keropok mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini Ahad lalu, meninggal dunia hari ini.

keropok

Muhammad Akil Syauqi, 3, disahkan meninggal dunia. Ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), manakala adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, masih dirawat di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, kanak-kanak itu meninggal dunia jam 8.30 pagi tadi di HPP.

keropok

Dalam kejadian Ahad lalu, dua beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun kritikal selepas makan makanan ringan berupa keropok yang mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini.

Difahamkan lokasi kejadian terletak berhampiran rumah kedua beradik itu terletak kira-kira 50 meter dari rumah mereka.

Ibu mereka, Nurain Hasnorizal, 25, yang menyedari anak-anaknya muntah dan menggelupur seperti diserang sawan kemudian membawa mereka ke Klinik Kesihatan Malau dan Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut.

Mereka kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang selepas keadaan mereka kritikal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-Kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.

BERITA TERDAHULU

“Saya rayu orang ramai titipkan doa buat dua beradik ini semoga segera sembuh dan pulih seperti sedia kala.

“Terima kasih dan semoga ada doa dalam kalangan kalian yang dikabulkan Allah SWT.”

Begitu rayuan Nurain Hasnorizal, 25, mengenai perkembangan dua anaknya yang kini kritikal di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat termakan keropok yang mengandungi racun tikus.

Dalam kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah itu, Muhammad Luth Syauqi Abdul Rahman dan Muhammad Akil Syauqi masing-masing berusia dua dan tiga tahun masih tidak sedarkan diri.

Doktor tak beri harapan anak sulung pulih

Katanya, doktor tidak dapat beri harapan terhadap pemulihan anak sulungnya tetapi mereka akan cuba yang terbaik.

“Doktor mengatakan pada masa ini, mereka tidak dapat lakukan rawatan pada buah pinggang Muhammad Akil Syauqi berikutan keadaannya tidak stabil.

“Tekanan darahnya juga rendah dan jika rawatan dibuat, keadaan buah pinggangnya bertambah ‘teruk’,” katanya ditemui di perkarangan HPP, hari ini.

Mengenai perkembangan Muhammad Luth Syauqi pula, Nurain berkata, anak keduanya itu masih koma.

“Dia sudah menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) hari ini dan masih koma.

“Pada masa ini fikiran saya masih buntu. Namun saya mohon supaya orang ramai supaya mendoakan kesembuhan kedua-duanya,” katanya yang juga operator kilang.

Nurain berkata, ketika kejadian dia menyedari anaknya masuk ke rumah dan tidak lama kemudian, anak bongsunya diserang sawan. Dia turut memeriksa keadaan anak sulungnya yang dalam keadaan serupa selain mulut berbuih.

“Saya lihat ada plastik makanan ringan dan yakin mereka sudah termakan keropok dicampur racun tikus itu yang sering digunakan penduduk berhampiran bagi memerangkap monyet.

“Berikutan keadaan kritikal, mereka dipindahkan dari Hospital Kulim (HK) ke HPP,” katanya.

Turut kelihatan di perkarangan HPP adalah sanak saudara mangsa yang menemani Nurain.

 

SUmber : BH

Share.

Leave A Reply