Kanak-Kanak OKU Dilaporkan Hilang Ditemui Terapung Dalam Lombong. | GOPENG – Kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun yang dilaporkan hilang di kawasan perumahannya di Taman Kinta Baru di sini sejak petang Isnin ditemui meninggal dunia dipercayai akibat lemas dalam sebuah lombong.

Muhammad Fayyadh Ukasyah Abdul Wahid yang mengalami masalah hyper aktif, kurang pendengaran dan tidak boleh bercakap ditemukan pada jam 9.45 pagi pada Selasa kira-kira 80 meter dari rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, pasukan operasi mencari dari Balai Polis Gopeng telah menemui mangsa dalam keadaan terapung di tepi sebuah lombong.

“Mayat mangsa dibawa naik oleh anggota bomba dan pemeriksaan awal pada fizikal mangsa mendapati tiada tanda menunjukkan unsur jenayah,” katanya.

Menurutnya, pengecaman mayat telah dibuat oleh keluarga mangsa sebelum dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Terdahulu dilaporkan Seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun dilaporkan hilang sejak petang Isnin.

Mangsa yang difahamkan mengalami masalah pekak dan bisu itu dikesan hilang dari kawasan perumahannya di Taman Kinta Baru di sini sekitar jam 6.30 petang.

Setakat jam 11 malam ini, operasi mencari dan menyelamat masih digerakkan untuk mengesan mangsa.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng pada jam 10.29 malam memaklumkan terdapat seorang kanak-kanak lelaki hilang dari rumah.

“Operasi pencarian dilakukan pada malam ini dengan bantuan unit anjing pengesan (K9) polis bersama agensi penyelamat lain,” katanya.

Sumber : SH

Share.

Leave A Reply