Kelantan Mula Laksana Undang-Undang Syariah Hari Ini. | KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan akan mula melaksanakan undang-undang Islam di negeri ini dengan menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 pada Isnin.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pelaksanaan enakmen itu dibuat selepas mendapat perkenan daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
“Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 telah memilih kaedah pelaksanaan hukuman retributif (hukuman setimpal dengan kesalahan) dan restoratif (hukuman bersifat pemulihan) untuk memulih dan memberi kesedaran kepada pesalah syariah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penerangan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 secara dalam talian menerusi laman Facebook rasmi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik) di sini pada Ahad.
Beliau berkata, undang-undang itu bertujuan mendidik dan menepati perintah agama dan menjadikan syariat Islam sebagai panduan kehidupan.
Ahmad berkata, sejak Pas diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir Kelantan pada tahun 1990, pelbagai usaha dijalankan bagi merealisasikan impian melaksanakan undang-undang Islam di negeri ini.
“Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Rang Undang-undang Jenayah Syariah pada tahun 1993 sebelum diwujudkan Enakmen Undang-undang Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993.
“Bagaimanapun, enakmen edisi 1993 tidak dapat dikuatkuasakan atas sebab dan halangan tertentu,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan itu berbangga kerana kerajaan negeri mampu menggubal enakmen tersebut.
Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil inisiatif lain membuat kajian dan penambahbaikan terhadap enakmen sedia ada di Kelantan.
Katanya, ia termasuk Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985 dan mula disemak semula pada tahun 2016 dan berakhir pada tahun 2019.
“Peruntukan enakmen sedia ada telah dikaji, diteliti dan wajar untuk ditambah baik sesuai dengan perkembangan sosial masyarakat masa kini selain menepati Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) 1965.
“Mahkamah Syariah dibeli kuasa membicarakan kes-kes yang had hukumannya maksimum tiga tahun penjara atau denda RM5,000 atau enam sebatan atau gabungan mana-mana hukuman terbabit. Justeru wujud Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019,” katanya.
Sumber : SH