Kes Langgar Basikal Lajak. Ini Permintaan Pemandu Wanita Tersebut. | KUALA LUMPUR: Kerani wanita, Sam Ke Ting yang disabitkan bersalah memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak lima tahun lalu, meminta orang ramai tidak menimbulkan isu perkauman berhubung perkara itu, sebaliknya melihatnya sebagai isu sejagat.

Kes Basikal Lajak, Sam Ke Ting Hari Ini Dibebaskan Dengan Jaminan

Peguam Muhammad Faizal Mokhtar yang mewakili Ke Ting, berkata anak guamnya dalam keterangan tidak bersumpah ketika membela diri di Mahkamah Tinggi, berkali-kali menyatakan rasa simpati dengan keluarga mangsa yang kehilangan ahli keluarga mereka.

“Bagi tertuduh, beliau adalah rakyat yang patuh kepada undang-undang dan percaya dengan kedaulatan undang-undang serta akur dengan sebarang keputusan mahkamah.

“Tertuduh memahami ia membabitkan nilai nyawa manusia dan kes ini bertembung dengan isu kebebasan seseorang tertuduh selagi dia tidak dibuktikan bersalah.

“Jadi, dua isu ini yang diperjuangkan oleh saya iaitu selagi tidak dibuktikan bersalah, maka dia tidak boleh dipenjarakan, dan pada masa sama timbalan pendakwa raya memperjuangkan mengenai nilai manusia,” katanya ketika ditemui selepas prosiding, hari ini.

Muhammad Faizal berkata, anak guamnya berada dalam keadaan baik di penjara dan berterima kasih kepada keluarga, rakan serta persatuan yang menyokongnya.

Sementara itu, Muhammad Faizal berkata, Ke Ting kecewa apabila ada pihak menyalahkan sistem kehakiman apabila Mahkamah Majistret Johor Bahru sebelum ini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan.

Katanya, pihak berkenaan mendakwa sistem kehakiman sudah rosak apabila anak guamnya menang ketika di peringkat mahkamah majistret.

Pada 28 Oktober 2019, Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas dan membebaskan Ke Ting tanpa memanggilnya untuk membela diri, selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Berikutan keputusan itu, pihak pendakwaan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi dan pada 18 Februari tahun lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Shahanaz Sulaiman, memerintahkan Ke Ting membela diri.

Di akhir kes pembelaan, Mahkamah Majistret pada 10 Oktober tahun lalu membuat keputusan melepas dan membebaskan Ke Ting daripada tuduhan berkenaan selepas mendapati pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.

Sumber : BH

Share.

Leave A Reply