Kes Tan Sri Azam Baki. Ini Tindakkan 3 Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM. | KUALA LUMPUR: Tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyatakan pendirian menyokong Tan Sri Azam Baki, yang kini terpalit dengan kes pemilikan saham, yang dibangkitkan pihak tertentu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali (Pencegahan) dan Datuk Junipah Binti Wandi (Pengurusan dan Profesionalisme) berpendirian tohmahan dan serangan yang dibuat adalah bermotifkan politik dendam bagi menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM.
Justeru, mereka menggesa supaya semua pihak menghentikan kemelut itu dan membiarkan proses undang-undang berjalan secara adil, telus dan saksama.
“Warga SPRM tetap bersatu hati dalam mempertahankan institusi Ketua Pesuruhjaya dan SPRM demi kelangsungan pencegahan rasuah di negara tercinta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Azam yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Mac tahun lalu, berkata beliau bersedia sekiranya kes yang didakwa membabitkannya dirujuk kepada Jawatankuasa Aduan SPRM dan turut bersedia untuk menyerahkan kepada budi bicara Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).
Malah, beliau menegaskan tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah atau salah guna kuasa seperti yang didakwa pihak tertentu.
Pada Rabu lalu, Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang dalam sidang media khas menyatakan LPPR yang juga satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM mendapati, tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.
Katanya, tujuan panel lembaga itu memanggil Azam pada 24 November lalu adalah untuk mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan terbabit yang tular di media sosial kerana ia menimbulkan pandangan negatif terhadap suruhanjaya berkenaan.
Pada Khamis lalu, Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam satu kenyataan pula berkata di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat perlu menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.
Sumber : BH