Kes Tembak. Pemandu Ativa Kongsi Detik Cemas Diacu Pistol. | KHALIFAH MEDIA NETWORKS : Shah Alam: “Kami sekeluarga berdepan detik mencemaskan selama 45 minit di dalam kereta bersama lelaki itu yang mengacu pistol dan mengarah saya beredar dari pusat beli-belah di Setia Alam pada hari kejadian,” kata pemandu Perodua Ativa berusia 30-an yang enggan dikenali.
Menceritakan kembali detik cemas itu, lelaki berkenaan berkata, dia dan keluarganya dikejutkan dengan suspek itu yang tiba-tiba muncul di kawasan parkir dan terus mengacukan pistol ke arah mereka.
“Saya tercengang. Lelaki itu (suspek) turut melepaskan tembakan ke arah dinding untuk menunjukkan bahawa itu pistol betul,” katanya ketika dihubungi.
SEBELUM KEJADIAN
Menurut lelaki itu, sebelum kejadian, dia bersama isteri dan empat anak makan di restoran pusat beli-belah terbabit sebelum keadaan tiba-tiba bertukar kecoh.
“Pengawal keselamatan mengarahkan kami semua segera keluar. Waktu itu, tidak tahu apa kejadian sebenar berlaku.
“Saya segera membawa ahli keluarga keluar dan ketika hendak ke tempat parkir, terdengar bunyi letupan,” katanya.
Lelaki itu berkata, awalnya, dia menyangka bunyi itu datangnya dari bunyi perlanggaran bonggol yang seolah-olah berbunyi seperti letupan.
“Saya anggap itu bunyi biasa sahaja dan tak sangka rupa-rupanya bunyi letupan daripada tembakan pistol.
TIBA-TIBA SUSPEK MUNCUL
“Pada masa itu, nampak banyak kereta bergerak laju. Ketika kami sekeluarga hendak masuk ke dalam kereta, secara tiba-tiba lelaki (suspek) itu muncul dan mengacukan pistol,” katanya.
Katanya, mereka diarah masuk ke dalam kereta dan lelaki itu duduk betul-betul di tempat duduk belakang.
“Saya minta dia simpan pistol supaya anak-anak tidak takut. Lelaki itu (suspek) kemudian mengarah saya ke laluan keluar sebelum turun di tepi lebuh raya.
“Dia berada dalam kereta kira-kira 45 minit dan sebelum menghilangkan diri, dia mengambil kad memori pada dashcam (kamera papan pemuka) kereta,” katanya.
Semalam dilaporkan polis mengenal pasti suspek kes tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam, malam tadi sebagai lelaki tempatan yang mempunyai 11 rekod kesalahan lampau berkait jenayah dan dadah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dilaporkan berkata suspek juga berkulit cerah dan berusia lingkungan 30-an.
“Dia dikenal pasti hasil risikan polis dan penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Kita sedang giat memburunya,” katanya.
PUNCA LEPASKAN TEMBAKAN
Siasatan awal pihak polis mendapati motif seorang lelaki melepaskan tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Shah Alam semalam adalah kerana berang ditegur seorang pekerja pembersihan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pekerja terbabit menegur suspek supaya mengalihkan barang yang diletakkan di kawasan kejadian.
Dilaporkan seorang tukang cuci cedera ditembak dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 10 malam itu menyebabkan mangsa cedera di punggung dan kaki.
Katanya, suspek lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an itu juga dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.
“Bagaimanapun, motif sebenar tiada (dikenal pasti) lagi,” katanya pada sidang akhbar di Angkasapuri di sini, hari ini.
Mohd. Suhaily berkata, siasatan lanjut dan usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan Polis Selangor dengan bantuan JSJ Bukit Aman.
“Saya yakin kes ini dapat selesaikan dalam masa terdekat,” ujarnya.
@sinar_my Polis mengesahkan satu kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam. Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata pasukannya baru tiba di lokasi. “Ya betul (berkenaan insiden tembakan) dan pasukan polis baru sampai di tempat kejadian, nanti saya (kongsikan) perkembangan kes,” katanya ketika dihubungi malam ini. Sumber: @sinarharian #SINARKongsi #SINARMuzikRetroTerbaik #tembak #shahalam #setiaalam #mall #fyp #malaysia #fyppppppppppppppppppppppp #foryoupage #viral #trending ♬ Criminals – F.O.O.L