Kesihatan Najib Razak Agak Teruk. Ini Puncanya. | KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu dirujuk ke Hospital Kajang dekat sini bagi menerima rawatan ekoran keadaan kesihatannya yang agak teruk.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, pegawai penjara memaklumkan kepadanya bahawa ubat tekanan darah tinggi yang diambil oleh bekas Perdana Menteri ditukar sehingga memberi kesan kepada tahap kesihatannya.

Sehubungan itu, Sri Ram memohon perbicaraan terhadap Najib dilapangkan pada sebelah petang bagi membolehkan beliau menerima rawatan di hospital pada pukul 2 petang.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan itu dan menetapkan perbicaraan disambung esok seperti yang dijadualkan.

Mahkamah kemudian menyambung prosiding dengan mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-27, Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi.

Najib, 69, sedang dibicarakan terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014, manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply